Wajib pakai 1 Ogos 2020

KUALA LUMPUR: Wajib pakai. Seperti dibayangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu, pemakaian pelitup muka akhirnya  diwajibkan bermula 1 Ogos di kawasan sesak seperti pengangkutan awam serta tempat-tempat awam.

Menteri Kanan (Pertahanan), Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat berikutan kadar peningkatan kes yang kembali meningkat selain pematuhan rakyat terhadap SOP semakin berkurangan.

Kadar pematuhan SOP seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial dalam kalangan orang ramai semakin menurun dan dilihat tidak dipatuhi.

“SOP di tempat-tempat awam yang bersesak tidak diendahkan oleh segelintir pihak jadi kerajaan membuat keputusan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka bermula 1 Ogos di kawasan awam yang sesak,” katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan PKPP.

Beliau turut mengulas mengenai pematuhan SOP di premis makanan yang dilihat seolah-olah tidak mengendahkan pematuhan SOP seperti yang telah ditetapkan pihak kerajaan.

“Terdapat premis makanan yang tidak endahkan pematuhan SOP seperti penjarakan meja meskipun kerajaan telah memberi kelonggaran.

“Oleh itu, kerajaan memutuskan untuk mengambil tindakan tegas terhadap premis termasuk pengunjung yang gagal mematuhi SOP sama ada kompaun, tindakan mahkamah, atau penutupan kedai,” katanya lagi.

Kesemua keputusan tersebut mengambil kira keadaan perkembangan Covid-19 di negara ini dengan terdapat pertambahan kluster baharu dan juga peningkatan kes serta nasihat oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

(23 Julai 2020)

Related posts

Leave a Comment