Turun harga pelitup muka

KUALA LUMPUR : Harga siling pelitup separuh muka akan diturunkan kepada RM1.20 seunit daripada RM1.50 bermula 15 Ogos, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata harga borong bahan itu yang ketika ini RM1.45 seunit juga akan diturunkan kepada RM1.15 bermula pada tarikh sama.

Penurunan harga itu, selaras dengan langkah kerajaan untuk menimbangkan keperluan mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat awam seperti yang disaran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dari segi bekalan, tinjauan dan pemantauan mengenai pengeluaran serta pengedaran pelitup muka adalah mencukupi ditambah juga dengan yang diimport… jadi soal bekalan tidak ada masalah,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kerajaan akan terus mengkaji keperluan untuk menurunkan harga pelitup separuh muka dan memastikan bekalan mencukupi.

Alexander berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) mengenai rasional penurunan harga siling pelitup separuh muka.

Pada 20 Julai, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat-tempat awam susulan ancaman Covid-19 masih belum berakhir.

Related posts

Leave a Comment