Kluster Hyde Park, Melbourne

KEMENTERIAN Kesihatan memaklumkan dua kluster baharu yang dikenal pasti pada hari ini, 22 Julai 2020

1. Kluster Hyde Park

Kluster ini dikesan di sebuah kapal di Pelabuhan Klang, Selangor. Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-8769) merupakan seorang krew kapal bukan warganegara (dari Rusia). Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Mesir dan India. Kluster ini dikenalpasti susulan saringan  Covid-19 yang telah dijalani oleh krew kapal tersebut sebelum pulang ke negara asal.

Sehingga 22 Julai 2020 pukul 12 tengah hari, keseluruhannya 24 orang telah disaring, iaitu terdiri daripada empat kes positif Covid-19; dan 20 adalah negatif.

Semua kes positif dalam kluster ini melibatkan bukan warganegara. Mereka sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh, manakala kesemua kontak rapat yang negatif pula dikuarantin di kapal tersebut. Kluster ini tidak membawa risiko penularan jangkitan di dalam komuniti kerana ia merupakan kluster import yang terpencil (isolated)

Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di kapal tersebut.

2. Kluster PUI Melbourne

Kes indeks kluster ini merupakan seorang pelajar warganegara Malaysia (iaitu kes ke-8749) yang pulang dari Australia pada 15 Julai 2020. Beliau menaiki dua pesawat, iaitu dari Melbourne ke Kuala Lumpur dan kemudiannya dari Kuala Lumpur ke Kuching. Dari Pintu Masuk Umum Kuching, Sarawak, beliau seterusnya dibawa ke pusat kuarantin di mana saringan didapati positif pada 17 Julai 2020. Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

Susulan itu, siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (active case detection) telah dijalankan. Satu lagi kes positif telah dikesan dalam kluster ini. Kes kedua ini telah menaiki pesawat yang sama dengan kes indeks iaitu pesawat yang telah bertolak dari Kuala Lumpur ke Kuching.

Sehingga 22 Julai 2020 pukul 12 tengah hari, terdapat dua kes positif Covid-19 dalam kluster ini. Seramai 21 orang kontak rapat yang terdiri daripada penumpang dari pesawat dan kenderaan awam yang berkaitan disaring dan masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih di dalam siasatan.

Related posts

Leave a Comment