16 kes: 8 tempatan, 8 import

PUTRAJAYA: Sebanyak 16 kes baharu Covid-19 dicatatkan hari ini, 22 Julai dengan lapan kes import dan lapan lagi kes penularan tempatan.

Dengan perkembangan ini, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 sebanyak 8,831 kes. Tiada kematian dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 meningkat kepada 142 kes.

“Lapan adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan empat rakyat Malaysia dan empat bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap atau dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja,” katanya.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, lapan orang itu pulang atau datang dari India, Rusia, Arab Saudi, China, Indonesia dan Korea.

Daripada lapan kes penularan dalam negara itu, tujuh kes dalam kalangan warga tempatan dan satu kes adalah bukan warganegara iaitu kes saringan untuk berlepas ke luar negara, tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Dr Noor Hisham berkata bagi tujuh kes penularan Covid-19 tempatan melibatkan warganegara, kesemuanya adalah di Sarawak dengan tiga kes daripada Kluster Stutong.

“Satu kes melibatkan Kluster Sentosa dan satu kes membabitkan pesakit dalam siasatan Kluster PUI (pesakit dalam siasatan) Melbourne,” katanya.

Manakala, satu kes saringan kontak rapat iaitu ahli keluarga kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8695) dan satu kes lagi melibatkan saringan kembali bertugas di sekolah, tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

Beliau turut memaklumkan terdapat empat kes pulih pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah 8,566 kes (96.9 peratus).

Sementara itu, sehingga kini hanya lima kes positif wabak itu sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment