Wawancara Ku Li di Utusan

IKUTI WAWANCARA DUA SIRI HARI INI DAN ESOK


UTUSAN: Bagaimana kedudukan UMNO dalam PN?

TENGKU RAZALEIGH: Ada perbezaan besar antara BN dengan MN dan PN. PN belum pun didaftarkan lagi. Cuma pakatan itu wujud oleh kerana Bersatu berpecah sesudah Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Pengerusi Pakatan Harapan. Apabila Bersatu tidak lagi memberi kepercayaan kepada kepimpinannya, dia letak jawatan, Bersatu berpecah dan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) telah mengambil kesempatan untuk mengumpul orang dengan kerjasama orang lain maksud saya (Datuk Seri) Azmin (Ali) supaya dia mempunyai bilangan cukup untuk menubuhkan kerajaan menggantikan apa ditinggal Dr. Mahathir.

Kita di sini bukan ambil kesempatan kerana kita daripada masa Tuanku Yang di-Pertuan Agong jemput kita, nak bertanya khabar apakah sikap kita terhadap kerajaan baharu sesudah Dr. Mahathir letak jawatan, maka kita bersikap kita mahu mandat itu diserah balik kepada rakyat. Sebab itu UMNO baik, Pas baik, MCA baik MIC baik tidak menyerah nama kepada Tuanku Agong sebagai calon untuk dipertimbang bagi pihak kita kerana kita hendak supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan. Itu kita punya keputusan, jadi apabila Muhyiddin menjelma sebagai calon pihak sebelah sana, tak ada nama pun pada ketika itu, jadi kita ambil kesempatan menyokong dia, kerana nak jaga kestabilan negara kita.

Cukuplah kita berkrisis kerana rakyat berdepan banyak masalah. Lebih-lebih lagi muda-mudi kita yang tidak ada pekerjaan, jadi kita rasa apa guna kita terus berkrisis. Atas dasar itulah kita menyokong kumpulan Muhyiddin. Kita tidak memihak kepada sesiapa. Kita nak supaya distabilkan keadaan dan tidak lagi berpanjang krisis politik itu. Atas mauduk itu kita bersama, tetapi walaupun begitu kita harap akan ada kesempatan kita untuk mengukuh kedudukan kita, sebab kita parti politik. Tetapi sungguhpun begitu, belum lagi ditentu apakah jaminan untuk kita dalam kerajaan baharu atau perlukah kita wujudkan satu perjanjian supaya mengukuhkan ikatan ini.

Cuma pada ketika itu, terpaksa kita menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menyembah keadaan baharu ini kepada baginda sebagai penyelesaian krisis, maka inilah dia.

Tapi sehingga sekarang belum ada lagi persetujuan mengadakan pendaftaran PN tetapi kita sudah ada BN, kita kekalkan simbol bersama MCA dan MIC dan sudah kita isytiharkan juga MN bersama Pas. Itu sebagai notis kepada rakyat bahawa kita nak kepada perpaduan terutama di kalangan Melayu dan orang Islam apatah lagi kita lihat pimpinan PH sudah gagal menjaga kepentingan rakyat majoriti iaitu Melayu dan orang Islam sehingga berlaku ketidaktentuan.

UTUSAN: Ku yakin kerjasama UMNO dan Pas menerusi MN boleh berjaya dalam PRU-15?

TENGKU RAZALEIGH: Kalau kita ikhlas antara satu sama lain, saya rasa kita boleh menang semua kerusi Melayu. PRU-15 ini harapannya adalah Pas dan UMNO sepakat. Jangan ada main kayu tiga saat-saat akhir, ini tak boleh. Kita kalau sudah putuskan ini kerusi UMNO, ini kerusi Pas, maka kita terima dan hadapi pihak lawan bersama. Dan ketika itu, jangan kira UMNO atau Pas lagi. Sebaliknya ini adalah Muafakat Nasional.  Calon PM itu akan ditentukan kemudian. PM akan diputus daripada orang dari kumpulan majoriti yang menang. Itulah nama yang akan dipersembah kepada Seri Paduka Baginda. Kalau dia tidak majoriti, tetapi tiba-tiba dia kata dia patut jadi calon PM, itu tidak menepati kehendak perlembagaan. Menurut Perlembagaan Negara, PM itu seseorang yang pada hemat Tuanku mempunyai keyakinan majoriti ahli Dewan Rakyat. (Syarat) Itu tak boleh lari.

UTUSAN: Ada Ku berikan sebarang nasihat atau pandangan kepada Presiden UMNO baru-baru ini?

TENGKU RAZALEIGH: Saya nasihatkan kepada MT baru-baru ini apa yang saya dengar daripada bawah. Pegawai kerajaan, tentera dan polis yang sudah bersara serta pihak universiti. Mereka datang bertemu saya dan melahirkan harapan supaya UMNO berkuasa balik. Begitu tingginya harapan mereka kepada UMNO. Jadi, kita bukan sahaja mesti bertindak melayan tuntutan ahli UMNO, tetapi orang Melayu seluruhnya termasuk di luar UMNO. Sebab nak harapkan ahli UMNO sahaja, 3.5 juta orang tak cukup kita nak menang pilihan raya.

ESOK Tengku Razaleigh bercakap mengenai Pengorbanan, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lompat Parti.

Related posts

Leave a Comment