Di mana noktah UEC?

BILAKAH agaknya orang Cina dan Melayu terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum itu boleh ‘tidur lena’ daripada ‘diganggu’ isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu atau Unified Examination Certificate (UEC)?

Ibarat sekali air bah sekali pantai berubah, isu ini tenggelam timbul tetapi tidak pernah tenggelam. Entah sudah berapa lama isu UEC ‘didendangkan’ tetapi penyelesaiannya tidak pernah dimuktamadkan. Asal ada peluang dan kesempatan, ada saja pihak yang cuba ‘menjolok’ isu ini.

Apakah masalah yang ada sehingga isu ini tidak boleh dimuktamadkan pendirian kerajaan tanpa mengira siapa yang memerintah?

Kelmarin isu ini muncul lagi apabila portal berita melaporkan “Secara peribadi PM harap kerajaan iktiraf UEC, dakwa Huazong’. Tidak pasti siapa betul dan siapa silap, sama ada wartawan salah lapor, Huazong tidak faham penjelasan PM atau PM sudah ‘terlepas cakap’.

Hari ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa mengeluarkan kenyataan bagi ‘memperbetulkan’ salah tanggapan itu.

Kenyataan itu menyusul selepas pelbagai pihak termasuk NGO membantah laporan itu. Bantah lagi. Entah kali ke berapa bantahan itu dibuat. Sampai bila NGO terutama melibatkan orang Melayu harus melayani isu yang tidak pernah padam ini?

Apakah tidak ada penyelesaian muktamad? Apa sebenarnya status UEC apabila masih berlaku ‘tarik tali’ sedangkan UEC didakwa bercanggah dengan Dasar Pendidikan Negara serta mencabuli Akta Bahasa Kebangsaan dan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan. Kenapa begitu sukar menamatkan isu ini?

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) semalam menggesa kerajaan diketuai Muhyiddin bersama 28 menteri mewakili Bumiputera bertegas dan tidak tunduk dengan desakan pihak yang mahu UEC diiktiraf.

Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali menegaskan, sijil UEC tidak boleh diiktiraf kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Kami tidak pernah anti kaum Cina untuk masuk ke IPTA. Yang kami bantah adalah lulusan UEC kerana mereka pertamanya tidak mahu bersekolah dengan anak kaum lain. Kedua, mereka menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa penghantar yang mana bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara.

“Ketiga, mereka belajar menggunakan silibus luar negara yang tidak selari dengan Dasar Pendidikan Negara,” katanya.

Selain NGO, parti politik, tidak kurang juga tokoh pendidik yang memberi pandangan mereka membantah pengiktirafan itu. Prof Dr Teo Kok Seong antara ahli akademik bukan Melayu yang sudah berkali-kali begitu lantang menyatakan supaya kerajaan tidak mengiktiraf UEC.

Baginya, kerajaan Malaysia yang diwakili mana-mana parti politik sekalipun tidak boleh sesekali mengiktiraf UEC.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menjelaskan, Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang mengambil UEC berada ‘di luar’ sistem pendidikan kebangsaan kita. Maka ia tidak wajar diiktiraf tetapi kenapa desakan masih berterusan?

Muhyiddin muncul dengan kenyataannya tetapi penjelasan itu mungkin membuatkan pihak berkenaan senyap seketika tetapi akan muncul lagi selepas ini apabila kemungkinan ada parti politik cuba meraih sokongan pihak tertentu dan pada masa tertentu untuk menunjukkan mereka menjadi juara kaum itu.

Berdasarkan kenyataan Muhyiddin, UEC telah mendapat ‘pengiktirafan sebahagian’ (partial recognition) apabila kerajaan pada masa lalu antara lain menerima lepasan UEC mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dalam bidang pengkhususan Bahasa Cina di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Adakah pihak berkenaan tidak akan pernah berputus asa untuk mendapat pengiktirafan ‘sebahagian’ lagi? Jika ya, di mana noktah UEC?

Related posts

Leave a Comment