Tarik balik cadangan potong bajet KKM, KPT

SEPANG 1 Mei  – Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan membentangkan rancangan penjimatan yang lebih adil, bijak dan pro-rakyat tanpa mengorbankan keperluan kesihatan awam dan masa depan pendidikan generasi muda.

Setiausaha Agung PN  Takiyuddin Hassan berkata, negara tidak akan maju ke hadapan jika kesihatan awam dikorbankan, sementara keperluan generasi mudanya dikesampingkan bagi menutup kegagalan pengurusan kerajaan sendiri.

“Memotong dana untuk hospital sebelum mengurangkan pembaziran atau mengurangkan peruntukan untuk universiti sebelum menghapuskan ketidakcekapan adalah langkah yang salah,” katanya sambil menegaskan disiplin fiskal mesti dipandu oleh kebijaksanaan dan keutamaan yang jelas.

Justeru PN menggesa kerajaan menarik balik cadangan-cadangan yang kelihatan terdesak ini yang menunjukkan bahawa Kerajaan telah hilang pertimbangan waras berkenaan keutamaan sebenar yang diperlukan oleh rakyat dan negara.

Katanya, selepas berulang kali menjanjikan reformasi ekonomi dan pengurusan kewangan berhemah, kerajaan kini beralih arah dengan bercadang untuk menarik keluar sejumlah besar dana daripada sektor penjagaan kesihatan dan pendidikan tinggi dalam tempoh bajet tahunan yang sama.

PN memandang serius cadangan Kementerian Kewangan memotong peruntukan operasi kerajaan berjumlah RM10 bilion daripada peruntukan Bajet 2026 sebanyak RM229 billion, terutama melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM) sebanyak RM3.06 bilion dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) RM2.39 bilion.

“Cadangan ini jelas amat mengecewakan kerana ia menunjukkan bahawa Kerajaan telah hilang pertimbangan waras berkenaan keutamaan sebenar yang diperlukan oleh rakyat dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Takiyuddin berkata, hanya kira-kira enam bulan lepas, Bajet 2026 menetapkan peruntukan sebanyak RM46.5 bilion kepada KKM dan RM18.6 bilion untuk KPT.

Kerajaan ketika itu katanya menegaskan bahawa peruntukan-peruntukan tersebut membuktikan komitmen Putrajaya kepada usaha reformasi penjagaan kesihatan, kecemerlangan universiti, kebajikan pelajar dan pembangunan negara.

“Namun hari ini, KKM dijangka berdepan kurangan dana operasi lebih 6 peratus sementara KPT bakal menghadapi potongan lebih besar sehingga 12 peratus. Ini merupakan angka-angka yang sangat signifikan melibatkan dua sektor utama yang memberi kesan langsung ke atas kesejahteraan hidup rakyat dan masa depan Malaysia,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, umum mengetahui bahawa KKM sedia berdepan dengan pelbagai tekanan serius dalam menyampaikan khidmat terbaik dengan Bajet 2026 menganggarkan keperluan dana lebih RM6 bilion untuk ubat-ubatan, vaksin, reagen dan keperluan habis pakai lain.

Angka ini tidak termasuk RM1.2 bilion yang diperlukan untuk tujuan penyelenggaraan dan naik taraf hospital dan klinik.

Beliau berkata, pengurangan besar peruntukan hanya akan memburukkan lagi isu-isu seperti tempoh menunggu yang panjang, kesesakan dan penangguhan naik taraf, selain meningkatkan tekanan ke atas petugas kesihatan yang sedia terbeban.

Dalam pada itu, katanya, peruntukan kepada KPT pula disediakan untuk tujuan penyelenggaraan infrastruktur dan menggantikan peralatan usang di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, dengan RM4.4 bilion dikhaskan untuk biasiswa, pinjaman dan bantuan Pendidikan kepada pelajar kurang mampu.

Takiyuddin mendakwa, potongan  dana kepada sektor ini bermakna kerajaan mendedahkan kebajikan pelajar, kualiti kampus, kecekapan penyelidikan dan kebolehpasaran graduan kepada risiko.

Katanya, jika kerajaan benar-benar serius untuk menangani isu disiplin fiskal, maka ia mestilah mendahulukan masalah pembaziran, ketirisan, projek tidak perlu, perbelanjaan kosmetik, lantikan politik dan program yang tidak membawa manfaat langsung kepada rakyat, bukan dengan menyasarkan hospital, klinik, universiti dan masa depan negara.

Selepas berulang kali menjanjikan reformasi ekonomi dan pengurusan kewangan berhemah, kerajaan kini beralih arah dengan bercadang untuk menarik keluar sejumlah besar dana daripada sektor penjagaan kesihatan dan pendidikan tinggi dalam tempoh bajet tahunan yang sama. Disiplin fiskal mesti dipandu oleh kebijaksanaan dan keutamaan yang jelas.

Nnn

Related posts

Leave a Comment