15 kes baharu, satu kematian

PUTRAJAYA: Lima belas kes baharu Covid-19 melibatkan 11 penularan tempatan dan empat import serta satu kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes 8,779 dan 123 kematian.

Empat kes import mendapat jangkitan di luar negara melibatkan dua warganegara dan dua bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia atas urusan kerja dan pasangan kepada rakyat Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat kes import itu dari United Kingdom (dua kes), India (satu) dan Libya (satu).

Daripada 11 kes penularan dalam negara, lapan kes adalah dalam kalangan warganegara dan tiga kes bukan warganegara.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, kes penularan tempatan melibatkan rakyat Malaysia, iaitu lima kes di Sarawak, dan masing-masing satu di Selangor, Sabah serta Johor.

Lima kes di Sarawak membabitkan satu kes saringan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8743), satu kes saringan kendiri, satu kes saringan sebelum kembali bekerja dan dua kes saringan rawak di lapangan iaitu di pintu masuk utama Sarawak. 

Di Selangor, satu kes saringan pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, satu kes di Sabah membabitkan kes saringan prosedur di Hospital Queen Elizabeth 2 dan satu kes di Johor melibatkan kes ‘Brought In Dead (BID)’. Kes ini juga merupakan kes kematian ke-123 dilaporkan hari ini.

Sementara itu, bagi tiga kes jangkitan dalam negara membabitkan bukan warganegara, masing-masing satu kes melibatkan kluster baharu iaitu Kluster Restoran Kuala Lumpur, Kluster Rumah Kongsi Sepang, Selangor dan Kluster Jeti Kuching, Sarawak. 

Mengenai kes kematian ke-123 (kes ke-8770), Dr Noor Hisham berkata ia melibatkan lelaki warganegara berumur 72 tahun, dan mempunyai penyakit darah tinggi kronik serta strok.

“Beliau merupakan penghuni di pusat jagaan warga emas dan mula mengalami gejala demam dan batuk pada 10 Julai dan dirujuk ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, (Kluang) Johor pada 17 Julai dan meninggal dunia setibanya di wad kecemasan pada 12.51 malam.

Terdapat tujuh kes pulih menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih sepenuhnya 8,553 kes, manakala hanya dua kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Related posts

Leave a Comment