Solat ikut kapasiti di Selangor

KHABAR gembira buat masyarakat Islam di Selangor apabila mulai Jumaat, 17 Julai 2020, semua masjid dan surau di negeri itu dibenarkan menerima jemaah berdasarkan kapasiti sebenar selepas penjarakan sosial.

Menurut Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Sultan Selangor memberi perkenan dengan menitahkan supaya JAIS mengambil langkah-langkah kawalan dan pencegahan penularan wabak Covid-19.

Menurut arahan terbaru itu, semua masjid dan surau Jumaat dibenarkan mendirikan solat Jumaat dan solat lima waktu berjemaah berdasarkan kapasiti jemaah sebenar masjid dan surau berkenaan setelah mengambil kira penjarakan 1.5 meter.

Kebenaran yang sama juga diberi kepada surau-surau biasa dengan syarat penjarakan sosial.

Bagaimanapun, kehadiran solat Jumaat perlu melalui proses pendaftaran dan penggiliran di mana jemaah yang berjaya akan menerima kad kehadiran yang akan dikeluarkan  oleh pihak masjid atau surau solat Jumaat.

Jemaah yang tidak berjaya setelah mendaftar akan digilirkan pada Jumaat minggu berikutnya.

Bagi jemaah yang mendapat kad kehadiran hendaklah datang lebih awal sebelum atau semasa azan pertama Jumaat dikumandangkan bagi memudahkan pengurusan kehadiran jemaah.

Tiada jemputan untuk solat fardhu manakala muslimah masih dilarang kecuali  di Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong dengan had 220 orang dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyber Jaya dengan had 250 orang.

Related posts

Leave a Comment