Kes Indonesia cecah 81,668

INDONESIA  merekodkan 1,574 kes baharu dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kes positif Covid-19 meningkat kepada 81,668 kes,.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19 Achmad Yurianto, berkata, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 76 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini 3,873 orang.

Sebanyak 23,947 pesakit masih dalam pemantauan.

Sementara itu, Jawa Timur mencatatkan kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,301 kes, diikuti Jakarta (713 kes), Jawa Tengah (267), Sulawesi Selatan (266) dan di wilayah lain

THAILAND melaporkan empat kes import baharu  Covid-19, meningkatkan jumlah kes di negara itu kepada 3,236 manakala jumlah kematian kekal 58 setelah tiada kematian baharu dilaporkan.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr. Taweesin Wissanuyothin, berkata, tiga lagi kes Covid-19 telah pulih, menjadikan jumlah kes sembuh kepada 3,095 dan 83 pesakit dirawat di hospital.

Kes jangkitan baharu membabitkan seorang lelaki dan wanita, masing-masing kembali dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan di kuarantin di Chon Buri.

Kes lain melibatkan seorang pelajar, kembali dari Mesir dan merupakan kontak rapat dengan individu yang dijangkiti virus itu semasa berada di negara berkenaan. 

Satu lagi kes, seorang wanita pulang dari Amerika Syarikat (AS) dan dikuarantin di Bangkok. Beliau mengalami demam, sakit kepala dan hilang deria bau selain berhubung rapat dengan pesakit Covid-19 di AS.

SINGAPURA  merekodkan 248 kes baharu jangkitan Covid-19 dengan 11 daripadanya melibatkan jangkitan dalam komuniti, menjadikan angka keseluruhannya kini berjumlah 47,126.

Dua daripada 11 kes dalam komuniti itu melibatkan warga Singapura atau penduduk tetap, manakala tujuh pemegang pas kerja, dan dua tanggungan pemegang pas.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), terdapat empat kes import yang melibatkan mereka yang dikenakan notis duduk di rumah sebaik sahaja tiba di Singapura.

Singapura mengklasifikasikan 623 daripada kes yang direkodkan adalah kes import, manakala 2,084 sebagai kes komuniti dan 44,171 sebagai kes penghuni asrama.

Daripada jumlah itu 42,988 telah pulih sepenuhnya sementara 159 kes yang disahkan masih berada di hospital, dengan kebanyakan mereka dalam keadaan stabil dan semakin bertambah baik. Tiada yang dirawat di unit rawatan intensif.

FILIPINA setakat pukul 4 petang 16 Julai 2020, merekodkan 2,498 kes baharu Covid-19 yang membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak 61,266 kes.

Jabatan Kesihatan melaporkan sebanyak 467 pesakit pulih yang membawa jumlah keseluruhan pemulihan kepada 21,440.

Sebanyak 29 kematian dilaporkan yang membawa jumlah keselutuhan 1,643 kes.

Related posts

Leave a Comment