Zalim, daftar nama tidak hadir

ZALIM tanpa sedar. Itu tajuk khutbah Jumaat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan. Zalim yang dimaksudkan bukan kerana penderaan atau kekejaman sesama manusia tetapi zalim terhadap peluang untuk beribadah ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Khutbah ini berkait rapat dengan tempahan solat Jumaat yang dilaksanakan di Negeri Sembilan, mungkin juga di negeri lain. Khatib ketika memulakan khutbah mengingatkan bahawa negara belum diisytiharkan bebas daripada wabak Covid-19. Kelekaan dan kealpaan mematuhi prosedur yang ditetapkan boleh memberi kesan buruk kepada semua pihak termasuklah para jemaah di masjid dan surau.

Hakikatnya, di mana sahaja kita berada yang melibatkan orang ramai, SOP perlu diberi perhatian. Jangan remehkan. Jangan sudah terhantuk baru tengadah.

Di Negeri Sembilan, sistem pendaftaran solat Jumaat secara atas talian dikenali sebagai e-mihrab telah dibangunkan bagi memantau kehadiran para jemaah di samping merekodkan maklumat agar jemaah mudah dihubungi seandainya berlaku perkara yang tidak diingini.

Individu yang menggunakan sistem ini akan ditawarkan untuk menjadi ‘Sahabat JHEAINS’. Langkah ini memudahkan mereka mendapat info pelbagai program serta memohon mengikuti program yang berkaitan termasuk kebenaran solat Jumaat.

Pada 3 Julai 2020, sebanyak 16,560 pendaftaran jemaah telah diluluskan namun hanya 8,312 orang yang berjaya hadir atau sebanyak 50.2%. Hari ini, Masjid Putra Nilai mendaftar 1,500 orang tetapi hanya 730 yang dapat menghadirkan diri setelah azan pertama berkumandang.

Soalnya ke mana yang lain. Jumlah yang tidak hadir ini ramai. Tidakkah perbuatan segelintir pihak ini telah menzalimi jemaah lain yang sememangnya bersemangat untuk hadir solat Jumaat pada hari tersebut namun gagal kerana tidak dapat mendaftar dalam sistem ini?

Sayyidina Ali bin Abi Thalib RA berkata: “Seseorang yang menzalimi (menganiaya) orang lain dan berbuat jahat pada orang lain, hakikatnya dia telah menganiaya dan berbuat jahat pada diri sendiri,”

Justeru jadilah insan yang bertanggungjawab dan tidak mementingkan diri sendiri.

Bagi yang telah mendaftar, hadirlah pada waktu yang ditetapkan. Janganlah sengaja meninggalkan solat Jumaat tanpa uzur syar’i sedangkan telah berjaya mendaftar. Perbuatan tersebut menidakkan peluang jemaah lain.

Khatib akhirnya mengingatkan jemaah mematuhi SOP yang ditetapkan. Apa yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa adalah demi menjaga kepentingan bersama.

SOP solat Jumaat di Masjid Putra Nilai adalah wuduk di rumah, bawa sejadah, memakai pelitup muka dan bawa plastik untuk menyimpan kasut dan letakkan di sisi (seperti yang dilakukan di Masjidilharam) .

Related posts

Leave a Comment