Had ikut kapasiti mulai 15 Julai

JUMLAH maksimum peserta atau pengunjung di majlis agama, sosial dan rasmi akan diselaras mengikut kapasiti ruang tertakluk kepada jarakan sosial bermula 15 Julai ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob. 

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bersetuju had 250 orang yang putuskan sebelum ini ditimbang semula.

Setakat ini tetamu untuk majlis kahwin sebagai contoh dihadkan seramai 250 orang dan jemaah masjid (serta penganut bukan Islam) seramai satu pertiga daripada kapasiti masjid dan rumah ibadah bukan Islam.

Bagi menyamaratakan semua sekali, kerajaan bersetuju had tetamu dan peserta adalah berdasarkan keluasan sesuatu tempat dengan syarat ada penjarakan sosial sejauh satu meter.

Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat itu hari ini, 10 Julai, beliau memberi contoh bagi sebuah dewan berkapasiti 1,000 orang akan dapat memuatkan 800 individu berdasarkan pelaksanaan jarakan sosial.

Mesyuarat juga bersetuju dengan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Berasrama yang dibentangkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM). 

Antara garis panduan itu ialah hanya murid dan pelajar yang sihat dibenarkan kembali ke asrama selain perlu melakukan saringan kesihatan semasa pendaftaran masuk ke asrama.

Bagi murid yang bergejala, pihak pentadbiran perlu mendapatkan nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan memaklumkan ibu bapa atau penjaga untuk membawa pulang murid.

Sebagai langkah keselamatan, Kementerian Kesihatan akan menjalankan ujian saringan Covid-19 secara rawak di asrama.

Sementara itu pelajar tingkatan empat dibenarkan pulang ke asrama bermula 15 Julai ini sementara untuk pelajar tingkatan lain, bermula 3 Ogos.

Related posts

Leave a Comment