AS tinggalkan WHO

GENEVA: Perasaan tidak puas hati Amerika Syarikat (AS) terhadap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam isu penularan wabak Covid-19 akhirnya membawa kepada penarikan diri AS daripada agensi itu.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan AS keluar daripada menjadi anggota WHO menjelang 6 Julai 2021 selepas menerima pemberitahuan rasmi mengenai keputusan itu daripada Presiden AS Donald Trump.

Menurut PBB, Trump harus memberikan notis satu tahun mengenai pengunduran negara itu daripada agensi itu yang berpusat di Geneva di bawah resolusi bersama kongres AS pada tahun 1948.

Menurut WHO, AS yang menganggotai WHO lebih 70 tahun berhutang lebih AS$200 juta kepada agensi itu dalam bentuk sokongan kewangan.

AS menarik diri dari WHO setelah Trump menuduh agensi itu menjadi boneka China ketika penularan pandemik Covid -19.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric memberitahu, Setiausaha Agung PBB dalam proses untuk menentukan semua syarat pengunduran diri itu dipenuhi.

Pentadbiran Trump telah menghentikan pembayaran untuk organisasi yang dianggotai 194 negara itu pada April lalu. Dalam surat pada 18 Mei lalu, AS menuntut WHO melakukan reformasi dalam tempoh 30 hari.

Dua minggu kemudian, Trump mengumumkan hasratnya membawa keluar AS daripada keanggotaan WHO.

Related posts

Leave a Comment