Sultan Selangor bimbang

 

KENYATAAN AKHBAR D.Y.M.M. SULTAN SELANGOR

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini menzahirkan rasa bimbang dan risau dengan keadaan semasa.

Baginda mendapati ramai di kalangan rakyat di Negeri Selangor khususnya, yang semakin mengabaikan amalan-amalan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mencegah penularan wabak berbahaya Covid-19.

Menerusi pemerhatian Baginda sendiri, ramai rakyat yang tidak lagi mematuhi garis panduan yang ditetapkan, seperti berada di tempat-tempat awam tanpa memakai pelitup muka dan tidak menjaga jarak sosial.

Baginda sangat bimbang sekiranya masih ramai yang berdegil dan tidak mengamalkan norma-norma baharu ini, gelombang kedua penularan akan muncul dan menjejaskan ekonomi dan kehidupan seharian rakyat.

Justeru, Baginda menyeru agar semua rakyat terus mengamalkan disiplin yang tinggi dengan sentiasa memakai pelitup muka, membersihkan tangan menggunakan sanitizer atau sabun dan mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter. Jika tidak sihat atau sakit, jangan keluar ke tempat awam.

Baginda tidak mahu rakyat terus hidup dalam suasana yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan, seterusnya boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.

Baginda turut menyeru rakyat agar menghargai jasa dan pengorbanan petugas-petugas di barisan hadapan khususnya di hospital-hospital serta tidak menambah bebanan tugas mereka.

Titah Baginda lagi, selagi vaksin untuk wabak Covid-19 belum ditemui, Baginda berharap setiap rakyat berusaha sebaik mungkin untuk mematuhi SOP yang disebutkan tadi kerana ini sahaja cara yang terbukti berkesan bagi menghapuskan wabak berbahaya ini.

Istana Alam Shah
8 Julai 2020

Related posts

Leave a Comment