PUTRAJAYA 9 Feb. – “Black Friday, sejarah hitam kepada umat Islam di negara ini,” kata Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, ketetapan yang diputuskan mahkamah itu bakal memberi kesan buruk kepada undang-undang syariah di 14 negeri.
“Kita amat sedih, ini adalah Black Friday, Jumaat yang hitam kepada undang-undang syariah Islam.
Saya sebagai peguam tahu apabila satu undang-undang jenayah syariah di sebuah negeri dibatalkan, bermakna undang-undang jenayah syariah di negeri lain dalam keadaan bahaya dan kritikal,” katanya di sini hari ini.
Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.
Dalam keputusan penghakiman 8-1, panel hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.
Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.
Takiyuddin berkata, keputusan terbabit bukan perkara kecil kerana ia adalah untuk mempertahankan undang-undang syariah yang secara langsung mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu.
Jelasnya, institusi Raja-Raja Melayu menjadi ketua kepada agama Islam di negeri dengan Yang di-Pertuan Agong di peringkat Persekutuan.
“Katakanlah di Negeri Sembilan atau di Melaka, (individu) dituduh, di Mahkamah Syariah atas kesalahan liwat. Kemudian kes dibawa ke Mahkamah Persekutuan dan diberitahu bahawa di Kelantan (enakmen itu sudah) dibatalkan.
“Maka kes akan dibatalkan dan tak ada orang boleh dituduh di Mahkamah Syariah. Jadi ini amat serius,” katanya.
Ditanya tindakan yang akan diambil selepas ini, Takiyuddin memaklumkan, ramai Ahli Parlimen sudah mengemukakan soalan bagi mendapatkan jawapan berhubung perkara itu pada sesi Dewan Rakyat yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Kita tahu bahawa di peringkat Persekutuan ini, ada satu jawatankuasa dipanggil Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan Sultan Selangor.
“Jadi, kita juga akan bertanya di Parlimen, apa hasil daripada jawatankuasa MKI ini, apa yang sudah buat untuk lindungi kedudukan undang-undang syariah di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bersama Gerakan Selamat Syariah, Mohd Zai Mustafa, berkata pihaknya akan menggerakkan usaha untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong serta Sultan Selangor selaku Pengerusi MKI.
“Kami tidak akan berputus asa dan akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong. Kami juga berharap umat Islam di seluruh negara berdoa supaya Islam terus dilindungi kerana perkara ini melangkaui parti politik,” katanya.
Terdahulu, hampir 500 orang menyertai Himpunan Selamatkan Syariah di perkarangan Istana Kehakiman di sini sejak pukul 8.30 pagi.
Himpunan itu turut dihadiri bekas Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yaakob; Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadli Shaari dan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman.
Turut hadir Naib Presiden Bersatu, Dr Radzi Jidin.
