Enam kes baharu di Thailand

INDONESIA terus mencatatkan tambahan kes jangkitan Covid-19 apabila 1,331 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kes 42,762 dalam tempoh 24 jam.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Achmad Yurianto, berkata, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, 63 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan kematian berjumlah 2,339 orang.

Katanya, sebanyak 17,923 pesakit masih dalam pemantauan Covid-19.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi keseluruhan iaitu 664 kes, diikuti provinsi Jakarta (578 kes), Jawa Barat (171), Kalimantan Selatan (150) dan selebihnya di wilayah lain.

SINGAPURA mengesahkan pertambahan 257 kes jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam yang lepas, dengan hanya empat kes dalam komuniti.

Dengan angka terbaharu itu, jumlah keseluruhan kes adalah 41,473.

Kementerian Kesihatan (MOH) memaklumkan antara kes komuniti itu, seorang melibatkan penduduk tetap Singapura dan tiga lagi ialah pemegang pas pekerja.

Setakat tengah hari Rabu, 26 kematian dilaporkan dan 31,938 atau kira-kira 78 peratus daripada jumlah pesakit telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan.

Terdapat 257 kes disahkan masih berada di hospital semalam dengan dua dalam keadaan kritikal di unit penjagaan rapi.

THAILAND melaporkan enam lagi kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 3,141 manakala kematian kekal 58.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Panprapa Yongtrakul berkata semua kes baharu itu membabitkan warga Thailand yang balik dari luar negara dan sedang dikuarantin. 

Lima kes melibatkan pelajar berusia antara 23-26 tahun. Mereka tiba dari Arab Saudi pada 12 Jun dan semuanya tanpa gejala.

Satu lagi kes melibatkan wanita berusia 26 tahun, pulang dari India pada Jun dan mengalami demam pada hari berikutnya, kini dirawat di hospital di Chon Buri.

Jumlah pesakit sembuh pula seramai 2,997 dan 86 lagi masih dirawat di hospital manakala angka korban kekal 58 orang.

FILIPINA sehingga pukul 4 petang 18 Jun melaporkan 562 kes menjadikan jumlah jangkitan Covid-19 meningkat kepada 27,799 kes.

Menurut Jabatan Kesihatan (DOH), daripada 562 kes itu, 481 adalah kes terkini sementara 81 kes lewat lapor. Kes terkini  hari ini berdasarkan laporan pencapaian harian yang diserahkan oleh 45 daripada 59 makmal yang beroperasi.

DOH juga mengumumkan sembilan lagi kematian menjadikan jumlah kes 1,116 sementara 270 kes sembuh yang membawa kepada 7,090 pesakit pulih.

Related posts

Leave a Comment