Ziarah umrah masih digantung

RIYADH: Sekatan pergerakan di Arab Saudi yang menghentikan sebahagian besar aktiviti di negara itu akibat wabak koronavirus akan dilonggarkan mulai 31 Mei ini.

Menurut media di Arab Saudi, pergerakan di bandar-bandar dan wilayah-wilayah negara itu akan dibenarkan kecuali di Makkah.

Langkah itu memberi ruang kepada pelbagai aktiviti  termasuk penerbangan domestik, pembukaan masjid, restoran dan kafe.

Kelonggaran akan dibuat secara berperingkat mulai 28 Mei hingga 30 Mei dan fasa kedua mulai 31 Mei hingga 20 Jun.

Untuk fasa pertama, semua pergerakan kenderaan persendirian dibenarkan antara wilayah kecuali Makkah mulai 6 pagi hingga 3 petang  Makkah akan kekal menjalani perintah berkurung 24 jam.

Pada 21 Jun, semua perintah sekatan di negara itu akan ditamatkan dan sembahyang di masjid di Makkah akan diizinkan.

Sebelum ini, garis panduan jarak selamat mesti terus dipatuhi dan perhimpunan lebih daripada 50 orang akan terus dilarang.

Pihak berkuasa juga membenarkan operasi di kementerian, agensi kerajaan dan syarikat swasta.

Beberapa aktiviti ekonomi dan komersial juga akan dibenarkan termasuk di kedai borong dan runcit, dan juga pusat membeli-belah. 

Bagaimanapun , semua sektor pekerjaan di mana peraturan menjauhkan diri lebih sukar dicapai seperti salon kecantikan, kedai gunting rambut, kelab sukan dan kesihatan, pusat rekreasi dan pawagam akan kekal ditutup.

Ziarah umrah dan penerbangan antarabangsa akan terus ditangguhkan sehingga dimaklumkan kemudian.

Related posts

Leave a Comment