Ubat Malaria digantung

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menggantung sementara waktu penggunaan hydroxychloroquine sebagai rawatan Covid-19 dalam kajian yang dilakukannya di peringkat global.

Menurut badan itu, pakar WHO akan meneliti semua data yang diperoleh daripada penggunaan ubat malaria tersebut sehingga kini.

Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus mengumumkan perkara itu pada satu sidang media di Geneva pada Isnin.

Katanya, memetik laporan journal perubatan Lancet yang diterbitkan pada Jumaat, pesakit yang diberikan hydroxychloroquine berdepan risiko kematian atau masalah jantung.

Kumpulan eksekutif percubaan Solidarity, mewakili 10 negara yang mengambil bahagian, mengadakan perbincangan pada Sabtu dan bersetuju mengkaji semula analisa komprehensif dan penilaian terhadap semua bukti yang ada di seluruh dunia.

“Kajian berkenaan akan mempertimbangkan data yang dikumpul setakat ini, khususnya data rawak yang tersedia, bagi menilai dengan tepat potensi faedah dan kemudaratan dari ubat berkenaan.

“Ia juga telah melaksanakan pemberhentian sementara penggunaan hydroxychloroquine, sementara data berhubung keselamatan disemak Badan Pemantau Keselamatan Data,” kata Tedros.

Percubaan Solidarity dimulakan WHO dua bulan lalu bagi menilai keselamatan dan keberkesanan empat jenis ubat dan empat kombinasi ubat yang digunakan bagi merawat Covid-19.

Minggu lepas, presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengakui dia mengambil hydroxychloroquine walaupun negatif Covid-19.

Pada 23 Mei lepas, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan Malaysia menggunakan hydroxychloroquine untuk merawat pesakit Covid-19 di negara ini.

Menurutnya, doktor harus memantau pesakit yang dirawat menggunakan hydroxychloroquine kerana ia mempunyai kesan sampingan.

Antara ubatan lain yang turut digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 adalah remdesivir.

Related posts

Leave a Comment