MAEPS belum keluar surat setuju terima

KUALA LUMPUR 31 Mac – Pengurusan Dewan MAEPS belum mengeluarkan apa-apa surat setuju terima berhubung majlis berbuka puasa bersama anak-anak Kedah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, sebut harga juga belum keluar.

Justeru beliau hairan dengan dakwaan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Nor bahawa majlis berbuka puasa di MAEPS Serdang, Selangor dibatalkan sedangkan tempahan dewan belum diluluskan.

“Pelik juga saya bila Menteri Besar Kedah kata kelulusan sewaan dewan ditarik balik oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedangkan pengurusan dewan MAEPS belum keluarkan apa-apa surat setuju terima,” katanya di Facebook malam tadi.

Mohamad yang juga Presiden Amanah turut hairan dengan tindakan Muhammad Sanusi yang menyebarkan poster program sebelum lokasi penganjuran disahkan kelulusan oleh pengurusan dewan.

“Lagi satu, macam mana Menteri Besar boleh sebarkan dulu poster program sebelum lokasi telah disahkan sudah dapat? Biasanya dah pasti baru kongsi,” katanya.

Mohamad turut merujuk penganjuran program Anak Terengganu di MAEPS tiada masalah dan akan berlangsung seperti dijadualkan.

“Oleh kerana YAB dah kata program Anak Kedah akan dibuat di tempat lain – kami kira tak jadilah noo. If tak pasti, please don’t kongsi.” katanya.

Sebelum ini Muhammad Sanusi mendakwa kelulusan mengguna Dewan A MAEPS di bawah KPKM bagi mengadakan majlis berbuka puasa bersama anak-anak Kedah di perantauan pada 9 April ini ditarik balik.

“Kami nak buat majlis berbuka puasa saja pun, dewan tu kerajaan negeri Kedah akan bayar sewa, awat la jadi sampai lagu tu. Kedah ini kan menghasilkan 43 peratus beras untuk negara ini.

“Tak apa, tak gaduh kalut kelam kelibut, program akan diteruskan seperti dirancang. Lokasi terkini akan dimaklumkan segera, Kuala Lumpur juga la.. Hangpa mai bagi ramai noh..

“If you panaih please don’t koyak…, ” sinisnya menerusi perkongsian itu.

Related posts

Leave a Comment