RAMADAN 1441 TIDAK SEPERTI TAHUN TAHUN LALU
MELIHAT suasana lengang di sekitar Masjidilharam, pada sepuluh malam terakhir, teringat tarikh 25 Ramadan semasa di sana pada tahun 2012. Ramadan 1433. Waktu itu, lautan manusia di segenap pelusuk kawasan Masjidilharam. Begitu jugalah tahun-tahun sebelum dan selepas itu pada setiap kali Ramadan.
Namun hari ini, Ramadan yang hanya berbaki beberapa hari lagi, kawasan Masjidilharam terus sepi. Jemaah yang terhad dibenarkan memasuki Masjidilharam untuk solat waktu, tarawih, witir dan tahajud. Tidak lagi kelihatan manusia berpusu-pusu bergerak pantas mengatur langkah menuju masjid, lebih-lebih lagi waktu solat.
Semuanya akibat wabak Covid-19. Hanya Allah SWT yang tahu bila akan berakhir dan kenapa dunia dibebani penyakit ini. Semoga menginsafkan kita dan diampuni dosa dan kesalahan kita.
Syukurlah peluang berada di sana pada Ramadan 1433 datang bagi membuat liputan Mesyuarat Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Ketika itu, Perdana Menteri Najib Razak mengetuai delegasi.
Ketika Ramadan memasuki hari-hari terakhir ini, semakin ramai yang memasuki kota suci Mekah dari seluruh penjuru dunia. Walaupun cuaca panas tetapi setiap penjuru Masjidilharam dipenuhi umat Islam. Hari ini keluar masuk kota Makkah dilarang.
Kebanyakan hotel di sekitar Masjidilharam penuh dengan kadar harga yang berlipat kali ganda. Tidak ada pakej satu atau dua malam sebaliknya ditetapkan 10 malam. Hotel bertaraf dua atau tiga bintang mencecah sehingga RM2,200 satu malam.
Sebuah hotel bertaraf satu bintang pula dengan tiga atau empat katil menetapkan RM30,000 bagi 10 malam dan kedudukannya pula dianggarkan 600 hingga 800 meter ke Masjidilharam.
Seorang wakil rakyat yang kebetulan ditemui menginap di hotel empat atau lima bintang ketika ditanya kadar sewanya hanya berkata: Tak payah tanyalah! Sudah pasti harganya lebih tinggi.
Melihat kadar sewa ini, mungkinkah mereka yang kelihatan 24 jam di sekitar jalan raya berhadapan masjid ‘berkhemah’ di situ untuk beribadat. Tidak semua berkemampuan untuk menyewa penginapan.
Setiap petang menjelang waktu iftar (berbuka puasa), ada saja tangan yang akan menghulurkan makanan dan minuman untuk berbuka puasa. Ada roti, kurma, kek, teh herba, susu, minuman kotak, botol dan minuman tin.
Bagi yang tidak mampu menyediakan itu, mereka juga ada cara tersendiri untuk ‘memberi’ sesuatu kepada orang yang mahu berbuka. Mereka akan mengambil air zam-zam dan membawa cawan untuk diagih kepada orang ramai.
Begitu besar ganjaran memberi makan. Nabi Muhammad SAW bersabda: Barang siapa menjamu seorang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka perbuatannya yang baik itu menyebabkan ia diampunkan dosanya dan menjadi penebus dirinya dari neraka dan ia pula mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa yang dijamu itu dengan tidak mengurangkan pahala orang itu sedikit pun,”
Dan sekali lagi suasana itu tidak berlaku tahun ini.
Ramadan semakin menghampiri penghujungnya tetapi entah bila Covid-19 akan pergi.