KUALA LUMPUR 18 Mei – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menjelaskan tanggungjawab baginda melantik seorang Perdana Menteri seperti dikehendaki Perlembagaan Persekutuan selepas Dr. Mahathir Mohammad meletak jawatan.
Titah Seri Paduka, pada 24 Februari yang lalu, apabila Perdana Menteri meletak jawatan, baginda menerima menghadap Dr. Mahathir dan meminta beliau supaya tidak berbuat demikian tetapi Perdana Menteri ketujuh itu tetap dengan keputusannya.
“Oleh yang demikian, beta bertanggungjawab untuk melantik seorang perdana menteri yang baharu. Perkara 43 memberi kuasa budi-bicara kepada beta untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat beta mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli dewan rakyat,” titah baginda.
Pada 25 dan 26 Februari 2020, Seri Paduka telah mengadakan sesi pertemuan secara berseorangan dengan ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menilai sendiri sokongan kepercayaan mereka.
Ini diikuti pada 29 Februari 2020, semua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat dititah untuk mencalonkan nama seorang ahli Dewan Rakyat sebagai bakal perdana menteri.
Atas permintaan beberapa ketua parti politik, baginda berkenan melanjutkan tempoh masa bagi parti-parti politik mengemukakan pencalonan mereka agar masa yang cukup diberikan dalam membuat perhitungan secara demokrasi.
“Sudah tentu setiap pertandingan pasti akan ada penamatnya. Kemelut politik negara tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berpanjangan.
“Lantaran itu, setelah melalui semua proses tersebut, dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, beta mendapati Tan Sri Muhyiddin bin Haji Yassin telah mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat dan dengan demikian selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8,”;titah baginda.
Seri Paduka bertitah, pada masa yang sama juga, baginda menghargai kematangan dan kerjasama semua ahli yang berhormat dan rakyat jelata yang memainkan peranan dengan penuh berhemah dan beretika sehingga membolehkan baginda menggalas amanah itu.
Al-Sultan Abdullah berharap kerajaan di bawah kepemimpinan Muhyiddin dapat membawa negara untuk terus mendaki persada kejayaan yang lebih tinggi.
“Nasihat beta, laksanakan amanah ini dengan jujur dan penuh tanggungjawab serta jangan sekali-kali mengabaikan kesejahteraan rakyat jelata,” titah baginda.