Surau lama gamit kenangan

SAMBIL selak-selak gambar lama terjumpa beberapa foto ini. Ia berkaitan Surau Al-Huda Utusan Melayu. Saya tak pasti di sebalik nama pemilihan Al-Huda kerana celik-celik  mata saja di Utusan Melayu, surau tu dah ada bersebelahan kilang di Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin.

Suatu masa dulu tahun 80an, mula-mula saya jadi pemberita kadet, surau tu adalah bangunan kayu. Surau yang berdindingkan papan dengan dua (kalau tak silap) anak tangga batu. Berbunyi surau tu bila ramai-ramai turun sujud. Tempat wuduk dan tandas kena naik surau dahulu dan turun semula di pintu bahagian kanan surau.

Masih teringat beberapa nama yang saya kenal rapat di surau papan termasuk Allahyarham Ali Merican (Abang Ali)  dan Allahyarham Zainol Abdul (ada nama lain mudah diingat). Merekalah yang turut menjadi bilal dan imam. Apabila kilang berpindah ke Bangi, satu ruang yang lebih luas di situ dijadikan surau.

Ketika itu antara watak utama yang turut menghidupkan surau termasuklah Kamsari Hj Nor lebih-lebih lagi kedudukannya sebagai Yang Dipertua Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM). Pelbagai aktiviti diadakan termasuk solat tarawih dan program tazkirah semasa Ramadan.

Saya tidak menyimpan foto bangunan lama itu. Mungkin ada rakan-rakan lain menyimpannya.

Foto bersama imam Mekah itu pula adalah pada tahun 2012 di surau bekas kilang Utusan selepas berpindah dari surau kayu. Kali kedua imam itu hadir untuk mengimamkan solat Tarawih. Di luar surau tu ada bangku panjang, sama seperti di surau lama. Foto bekas MB Selangor dan bekas KP Utusan itu juga di surau bekas kilang. Gambar dirakam ketika mereka singgah solat.

Foto rakan-rakan yang sedang  membawa papan tanda surau itu pula adalah untuk dipindahkan ke surau baharu di bangunan baharu di Jalan Utusan. Jelas di foto ini, yang kelihatan garaj letak kereta, di situlah letaknya surau lama Utusan.

Syukur Alhamdulillah, surau Al-Huda bukan sekadar tempat solat berjemaah warga Utusan di Jalan Chan Sow Lin tetapi juga tempat mempererat dan mengukuhkan silaturahim. Melalui solat berjemaah dan aktiviti lain termasuk tazkirah, kita dapat kenal antara satu sama lain.

Related posts

Leave a Comment