ARAB Saudi terus mencatatkan peningkatan kes Covid-19 apabila 1,793 kes baharu dikesan menjadikan jumlah kes 33,731.
Kementerian Kesihatan Arab Saudi turut mengumumkan 10 lagi kematian menjadikan jumlah keseluruhan 219 kes.
Kes pulih pula meningkat kepada 7,798 berikutan 1,015 lagi kes sembuh.
Kematian yang melibatkan seorang penduduk tempatan dan sembilan bukan warganegara itu dilaporkan di Makkah, Khobar, Madinah, Riyadh dan Jeddah.
Mangsa berumur antara 30 hingga 78 tahun.
Kes baharu pula melibatkan 75 peratus bukan penduduk Arab Saudi dan 83 peratus melibatkan kaum lelaki.
Mengenai taburan kes, Madinah mencatatkan 396 kes, diikuti Jeddah 315, Makkah 254, Riyadh 194, Dammam 171 dan Khobar 120 .
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan arahan melarang sebarang perhimpunan atau majlis keraian yang melibatkan lebih daripada lima orang bagi mengekang wabak.
Begitu juga perhimpunan melibatkan lebih daripada satu keluarga dan bukan anggota keluarga yang sama. Penduduk juga dilarang berkumpul di pusat membeli belah.