PKP: Timbalan menteri didenda

GERIK: Timbalan Menteri Kesihatan,  Dr Noor Azmi Ghazali dijatuhi hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini (28 April 2020) kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menghadiri satu jamuan dua minggu lepas. 

Turut dikenakan denda sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak Razman Zakaria serta 13 individu lain.

Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh menjatuhkan hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing-masing yang dibacakan secara serentak oleh jurubahasa mahkamah. Mereka membayar denda itu.

Terdahulu, Dr Noor Azmi yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, dan Razman tiba di mahkamah pada pukul 9.20 pagi.

Pada 18 April lalu, beberapa keping gambar Dr Noor Azmi, Razman dan beberapa individu menghadiri satu jamuan di Maahad Tahfiz Quran Lid Dakwah Wal Imamah di Lenggong, tular di media sosial.

Tindakan itu menimbulkan kecaman pelbagai pihak yang menggesa mereka juga dikenakan tindakan sama seperti orang lain yang melanggar perintah itu.

Sementara itu Razman dalam Facebooknya berkata, beliau menerima keputusan Itu.

Sebentar tadi mahkamah telah putuskan denda maksimum RM1000. Apa-apa pun, pakteh terima apa saja keputusan mahkamah. Perjuangan kita semua belum selesai untuk melawan wabak covid-19. “Jalan terus untuk berkhidmat kepada rakyat. Terima kasih bagi yang bertanya dan mendoakan. #KitaJagaKita

Related posts

Leave a Comment