16,000 warga asing, 6,000 orang tempatan

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) ada hikmahnya. Macam-macam cerita terbongkar. Salah satu daripadanya mengenai ‘taburan penduduk’. Hari ini terdedah jumlah warga tempatan dan warga asing di sekitar Pusat Bandar Utara dan Pasar Borong Kuala Lumpur. Jumlahnya 6,000 warga tempatan, 16,000 warga asing.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mendedahkan berdasarkan bancian terbaru di kawasan itu mendapati daripada jumlah keseluruhan penduduknya iaitu 22,000 orang, seramai 16,000 adalah warga asing termasuk pelarian Rohingya yang memegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR). 

“Ketika bancian awal hanya ada lebih 10,000 warga asing namun setelah dibanci secara terperinci mendapati angka naik sehingga 16,000 (warga asing). Namun semua penduduk di PKPD, termasuk warga asing akan dibekalkan dengan makanan.

“Tidak mungkin kami akan menggunakan wang ‘pembayar cukai’ untuk bekalan makanan mereka, jadi satu tabung khusus digerakkan bagi mengumpul dana membeli makanan asas kepada warga asing di kawasan PKPD,” katanya ketika wawancara eksklusif Bernama Radio bertajuk ‘Pengurusan COVID-19 dan PKP Wilayah Persekutuan’ hari ini, 28 April.

Katanya sumbangan tabung khusus itu kini sudah mencecah lebih RM1 juta dan orang ramai dialu-alukan untuk memberi sumbangan ke tabung itu menerusi Pusat Pengurusan Krisis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (CMC) di Jalan Tun Razak.

“Mana-mana pihak yang mahu menyalurkan sebarang bentuk sumbangan bekalan makanan kepada rakyat tempatan di kawasan PKPD akan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya. 

Sementara itu, beliau mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan segera terhadap pihak yang gagal mematuhi PKP di sekitar kawasan Pasar Borong Selayang yang membabitkan pekerja dan peniaga di kawasan pasar berkenaan khususnya melibatkan warga asing.

“Saya diberi maklum ada ketidakpatuhan PKP oleh peniaga dan penjaja di sekitar Pasar Borong Selayang khususnya oleh warga tertentu,” katanya,

Related posts

Leave a Comment