Pengakhiran wabak masih jauh

GENEVA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Gebreyesus memberi amaran bahawa pandemik koronavirus masih jauh lagi untuk berakhir.

Katanya, masih banyak yang perlu dilakukan dan WHO masih bimbang dengan trend peningkatan Afrika, Timur Eropah, Amerika Latin dan beberapa negara Asia.

“Ketika beberapa negara di Eropah melonggarkan sekatan susulan pengurangan kes, kami mendesak negara-negara ini mencari, mengasingkan, menguji dan merawat semua kes dan mengesan kontak untuk memastikan trend penurunan ini berterusan.,” kata Tedros dalam sidang media Covid-19.

Beliau yakin tindakan yang betul akan membolehkan dunia mengelak jangkitan gelombang kedua.

Tedros mengingatkan, pandemik Covid-19 masih mengganggu perkhidmatan dan menyatakan kebimbangan terhadap ancaman kesihatan kanak-kanak khususnya berkaitan imunisasi bagi kanak-kanak di negara termiskin.

Katanya, situasi kecemasan yang menyaksikan kawalan pergerakan seluruh dunia menyebabkan berlakunya kekurangan vaksin penyakit-penyakit seperti polio, campak, kolera, demam kuning dan meningitis.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 21 negara melaporkan kekurangan vaksin, kesan penutupan sempadan dan gangguan perjalanan akibat pandemik COVID-19.

Beliau mengakui bahawa kanak-kanak mungkin berisiko rendah daripada penyakit teruk dan kematian akibat Covid-19, tetapi berisiko tinggi dari penyakit lain yang dapat dicegah dengan vaksin.

Sempena Minggu Imunisasi Sedunia minggu ini, Tedros menarik perhatian mengenai imunisasi sebagai salah satu kisah kejayaan terbesar dalam sejarah kesihatan global apabila lebih daripada 20 penyakit dapat dicegah dengan vaksin.

Setiap tahun, lebih daripada 116 juta bayi diberi vaksin, atau 86% daripada semua kanak-kanak yang dilahirkan di seluruh dunia tetapi masih terdapat lebih daripada 13 juta kanak-kanak di seluruh dunia yang tidak dapat melakukan vaksinasi.

WHO sedar jumlah itu akan meningkat ketika dunia berhadapan dengan Covid-19 apabila kempen vaksinasi polio ditangguhkan sementara perhatian kepada imunisasi dikurangkan atau dihentikan.

Ada juga kalangan ibu bapa mengelak daripada membawa anak mereka untuk diberi vaksin kerana kebimbangan terhadap Covid-19.

Related posts

Leave a Comment