JIKA tidak ada aral melintang, Jumaat ini kita akan mula berpuasa. Ramadan 1441 sama sahaja seperti Ramadan yang lalu. Cuma cara kita menyambutnya kali ini yang berbeza. Kali ini dalam suasana ‘terkurung’.
Dulu, termasuk tahun lepas, tanpa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), waktu ini pastinya pelbagai persiapan sudah dibuat. Biasanya masjid dan surau dibersihkan secara gotong-royong. Ada yang pasang karpet baharu. Tanah perkuburan juga dibersihkan.
Begitulah persediaannya. Saban tahun. Tetapi kali ini kita tidak dapat ke masjid atau surau. Ramadan di rumah. Iftar di rumah. Tarawih di rumah.
Begitu juga di Makkah dan Madinah, kota yang sentiasa padat dengan jemaah seluruh dunia tiba-tiba sepi angkara koronavirus Covid-19. Semua orang tahu, Covid-19, musuh tanpa senjata, yang tidak kelihatan memaksa manusia duduk di rumah dan tidak bebas bergerak.
Semalam, Kaabah mula dibersihkan. Sudah menjadi rutin, setiap kali menjelang Ramadan, kerja-kerja itu dilakukan. Cuma kali ini nampaknya pembersihan dilakukan dalam suasana yang berbeza. Dataran Kaabah kosong tanpa pergerakan ramai orang yang tawaf atau solat.
Pembersihan itu tidak mampu dilihat atau dinikmati oleh kebanyakan orang Islam. Biasanya ketika ini Masjidilharam dan Masjid Nabawi sudah dipenuhi umat Islam dari seluruh pelusuk dunia. Pesawat tidak putus-putus mendarat di lapangan terbang Jeddah atau Madinah.
Indahnya puasa Ramadan di Makkah atau Madinah. Ramai yang meraih pahala untuk bersedekah walaupun sekadar menyediakan air zam-zam yang percuma itu untuk jemaah berbuka. Begitu juga iftar di dalam atau di luar masjid. Berebut-rebut dermawan mengajak jemaah duduk di ruang yang mereka sediakan.
Juadah berbuka ringkas. Tidak ada bubur lambuk atau nasi beriani. Yang ada kurma, roti, laban atau yogurt. Minuman teh atau kopi serta air zam-zam. Ringkas tetapi cukuplah untuk berbuka.
Namun tahun ini, sudah ketentuan-Nya, suasana itu tidak dapat dirasai oleh mereka yang sebelum ini memang bercita-cita mahu menunaikan umrah seterusnya berpuasa di sana pada bulan Ramadan. Lebih-lebih lagi 10 malam terakhir. Covid-19 yang masih enggan meninggalkan bumi ini sekaligus menutup peluang umat Islam mengunjungi dua Tanah Suci.
Semalam, keputusan sudah dibuat. Ramadan ini tidak ada umrah sehingga diberitahu kemudian. Semua aktiviti melibatkan jemaah di dua Tanah Suci itu dihentikan. Sepinya suasana di Kaabah dan sekitarnya. Sayu melihat ‘kekosongan’ yang sedang berlaku di dua kota itu lebih-lebih lagi di dataran Kaabah.
Kita juga akan merasai kehilangan suasana itu di masjid dan surau di negara ini. Boleh dikatakan hampir ke semua masjid terpaksa ‘dikosongkan’.
Untuk Makkah dan Madinah, tidak ada iftar dan iktikaf di masjid. Agihan makanan untuk berbuka masih boleh dilakukan di sekitar kota tetapi pastinya berbeza berbanding kehadiran jemaah seluruh dunia tahun-tahun sebelum ini.
Solat Tarawih pula secara tertutup, iaitu melibatkan orang tertentu termasuk kakitangan masjid. Hanya 10 rakaat berbanding sebelum ini 20 rakaat. Qunut dipendekkan. Raja Salman bin Abdulaziz pada Rabu meluluskan solat Tarawih di dua masjid suci diadakan tanpa kehadiran jemaah awam bagi membendung Covid-19.
Di Masjidilharam, enam imam sudah dipilih bagi mengetuai solat sepanjang Ramadan. Dua imam akan bertugas setiap malam. Mereka adalah:
1- Sheikh Abdul Rehman Al Sudais
2- Sheikh Saud Al Shuraim
3- Sheikh Maher Al Muaiqly
4- Sheikh Abdullah Awad Al Juhany
5- Sheikh Bandar Baleelah
6- Sheikh Yasir Al Dossary
Apa pun, syukurlah masih ada solat Tarawih di Masjidilharam. Semoga kita dapat mengikutinya melalui pelbagai media. Semoga bacaan ketika solat Tarawih, Witir dan Tahajud dapat memecah kesepian dua kota suci itu. Semoga doa umat Islam sepanjang Ramadan ini dapat mengembalikan semula ‘kesihatan’ muka bumi ini.
Sesungguhnya kita amat merindui masjid dan surau, rindu solat berjemaah, solat Jumaat, kuliah Subuh, Dhuha dan Maghrib. Rindu dua Tanah Suci – umrah dan ziarah dan haji. Ya Allah, angkatlah musibah ini daripada muka bumi ini. Kami hanya mampu berikhtiar kemudian berdoa.
(Gambar Sheikh Sudais dan Sheikh Shuraim)