Peluang orang ‘terperangkap’

SEKURANG-kurangnya ada sedikit ruang untuk mereka yang ‘terperangkap’ di kampung atau di mana sahaja boleh pulang ke rumah mereka sedikit masa lagi. Itu pun bergantung kepada situasi semasa. Tidak ada jaminan.

Mereka yang terperangkap semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu perlu membuat permohonan di balai polis berhampiran atau melalui talian menggunakan aplikasi ‘Gerak Malaysia’ yang dibangunkan Polis Diraja Malaysia bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu masih dalam kajian tetapi usaha ke arah itu ada.

“Jika pergerakan akan  bermula pun saya percaya mungkin selepas 1 Mei nanti…tak ada jaminan lagi, kerana setakat ini kita masih tunggu laporan  mulai 25 April ini sebab setiap laporan ke balai polis atau dalam talian pun akan bermula pada 25 haribulan.

“Waktu itu kita akan lihat seramai mana nak pulang dan sebagainya, barulah kita boleh merancang dan keluarkan SOP (Prosedur Operasi Standard) tertentu yang ketat dan sebagainya,” katanya di Putrajaya hari ini.

Itu langkah berhati-hati kementerian supaya tidak mengulangi kesilapan yang lalu apabila ramai balik kampung semasa PKP fasa pertama. Keadaan itu boleh menjejaskan usaha mengekang rantaian jangkitan wabak.

Sebelum ini saya pernah menulis mengenai isu ini serentak dengan cadangan membawa pulang pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi setelah PKP dikanjutkan. Langkah itu bagi memberi peluang kepada mereka terutama suami, isteri atau ketua keluarga yang terpisah akibat PKP diketemukan semula setelah lebih sebulan.

Ini kerana semasa balik kampung, ada yang suami sahaja pulang , mungkin sendirian atau bersama seorang anak sementara isteri ditinggalkan. Situasi ini boleh menimbulkan masalah.

Justeru kerajaan mungkin boleh pertimbangkan membenarkan mereka ini pulang tetapi biar ada prosedur tertenu, supaya tidak berlaku kesesakan di jalan raya atau pengangkutan awam. Apa yang penting jangan diulangi kesilapan lalu.

Related posts

Leave a Comment