SETAKAT pagi ini (7.30 waktu tempatan), dunia mencatatkan 1.8 juta kes Covid-19 dengan kematian 113,948.
Amerika Syarikat (AS) mendahului dengan 554,226 kes diikuti Sepanyol 166,127, Itali 156,363, Perancis 133,669, Jerman 127,574, United Kingdom 85,199, China 83,134 dan Iran 71,686.
Negara yang mencatat lebih 10,000 kematian masih didahului AS yang mencecah lebih 21,000 orang diikuti Itali 19,899, Sepanyol 17,209, Perancis 14,393 dan United Kingdom 10,612.
Sementara itu, New York, bandar yang paling teruk terjejas di AS yang mempunyai kes kematian paling tinggi dengan 5,226 kes.
Ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan korban di New York sebanyak 9,385 kes.
Gabenor Andrew Cuomo berkata, angka korban untuk enam hari berturut-turut pada minggu lalu melebihi 700 mangsa sehari.
Pada Sabtu, terdapat 758 mangsa lagi yang maut, manakala mereka yang masih dirawat di hospital adalah sebanyak 18,707.
Cuomo dan Datuk Bandar New York, Bill De Blasio tidak mencapai kata sepakat dalam penutupan sekolah di negeri terbesar negara itu.
De Blasio mengumumkan sekolah awam yang mempunyai 1.1 juta pelajar akan ditutup sepanjang tahun akedemik untuk mengekang penyebaran virus.
Cuomo mempersoalkan keputusan De Blasio dalam perkara itu, namun Datuk Bandar itu berkata ia adalah keputusan yang betul untuk dilakukan.
Dua jam kemudian, Cuomo mengulangi pendiriannya bahawa penutupan sekolah akan dilakukan secara koordinasi melalui daerah di seluruh bandar.
Katanya, penutupan sekolah untuk tahun ini adalah keputusan yang pramatang dan tiada siapa yang boleh membuat keputusan tepat sekarang.
Dalam pada itu, Cuomo berkata, beliau akan menandatangani arahan kepada majikan untuk membekalkan peralatan perlindungan seperti penutup muka kepada pekerja mereka apabila berinteraksi dengan orang awam.