Panik, menteri letak jawatan

ISTANBUL: Menteri Dalam Negeri Turki meletak jawatan pada Ahad sebagai tanggungjawab selepas mengumumkan perintah berkurung selama dua hari sehingga mencetuskan panik.

Bagaimanapun Presiden Recep Tayyip Erdogan menolak peletakan jawatan Suleyman Soylu, salah seorang tokoh paling kanan dalam pemerintahan Turki.

Dalam kenyataannya di Twitter, Suleyman Soylu berkata ia merupakan tanggungjawabnya untuk melaksanakan keputusan perintah berkurung yang bertujuan mencegah wabak Covid-19.

Perintah berkurung 48 jam di 31 bandar itu diumumkan hanya dua jam sebelum ia dikuatkuasakan.

Pengumuman itu menyebabkan ribuan orang keluar ke jalanan dan melakukan pembelian panik tanpa memakai topeng muka serta penjarakan sosial.

Ini menyebabkan banyak pihak mengkritik kerajaan berhubung tindakannya dalam melaksanakan perintah berkurung itu.

Turki mencatatkan 52,167 kes di mana dalam tempoh 24 jam lepas, sebanyak 5,138 kes dicatatkan serta 95 kematian yang menjadikan 1,101 korban.

Related posts

Leave a Comment