Duduk diam-diam di kampus

BERSABARLAH pelajar-pelajar  institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta yang masih berada di kampus. Mereka tidak dibenarkan pulang ke rumah atau kampung masing-masing. Ikut saja keputusan kerajaan jika itu yang disifatkan terbaik. Apa yang penting kebajikan mereka tidak terabai.

Hasrat pelajar-pelajar ini tidak dapat diterima setelah kerajaan mendengar pandangan Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebagainya.

Pendirian itu serentak dengan pembatalan keputusan kerajaan yang membenarkan kedai gunting rambut, salon kecantikan dan kedai cermin mata beroperasi semula. Hasrat kerajaan itu bagaimanapun mendapat bantahan masyarakat. Kebanyakannya bimbang wujud kluster baharu di kedai gunting rambut atau salon.

Tidak dibafikan urusan di kedai gunting, salon dan cermin mata boleh mengundang kes baharu kerana secara jelas tudak ada penjarakan sosial ketika urusan berkaitan dilakukan. Begitu jugalah pergerakan besar-besaran pelajar akan menyukarkan pihak polis yang menjaga keselamatan.

Pergerakan besar-besaran ini mungkin jika dibenarkan, akan menjadi kluster baharu Covid-19.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, kerajaan terpaksa membuat keputusan itu berikutan kebimbangan wujud kluster baharu Covid-19 apabila berlaku pergerakan besar-besaran melibatkan pelajar terbabit.

“Jadi, saya harap tidak timbul lagi perkara-perkara yang saya bangkitkan tadi. Semua keputusan ini adalah bagi memastikan usaha kita memutuskan rantaian dan membendung Covid-19 ini berjaya,” katanya.

Beliau pada masa sama, berharap semua pelajar akur dengan keputusan berkenaan demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya harap rakyat dan pelajar semua faham dengan tindakan ini kerana ia untuk menjaga kepentingan mereka, keluarga dan masyarakat sekeliling,” ujarnya.

Related posts

Leave a Comment