Tambah subsidi, potong subsidi wakil rakyat

KUALA LUMPUR 12 Mei – Bukan kurangkan subsidi minyak untuk rakyat yang memerlukan… tetapi tambah subsidi mereka dan potong subsidi wakil rakyat dan ‘boss’ syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Ketua Pemuda UMNO, Dr Mohamad Akmal Saleh berkata, orang yang pertama perlu dipotong subsidi minyak adalah semua wakil rakyat dan ‘boss’ GLC serta GLIC yang sudah menerima elaun kenderaan tinggi sehingga ribuan ringgit.

Tambah beliau, tindakan terbabit wajar dilakukan berbanding mengurangkan subsidi bahan api untuk rakyat yang memerlukan.

“Bukan kurangkan subsidi minyak untuk rakyat yang memerlukan… tetapi tambah subsidi mereka (rakyat memerlukan) dan ambil dari pihak yang tidak memerlukan seperti golongan yang gajinya berbelas ribu.

“Dan orang yang pertama perlu dipotong subsidi minyak adalah semua wakil rakyat dan boss GLC, GLIC yang dah ada elaun kenderaan beribu nilainya,” katanya melalui muat naik di Facebook.

Dalam pada itu, Mohamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Merlimau menegaskan pengurusan krisis tidak sewajarnya dibuat secara pukul rata bagi semua lapisan masyarakat.

“Bila ada yang beritahu, mereka yang (gaji) berbelas ribu pun membayar cukai. Ya, ini sangat benar, tetapi jika dibandingkan jumlah subsidi petrol RM400 sebulan untuk mereka dengan yang bergaji RM1,700 sebulan, sudah tentu kesannya amat besar untuk golongan bergaji rendah.

“Jika golongan bergaji besar merungut mereka adalah penyumbang cukai terbesar. Mereka juga perlu ingat, jika bukan kerana golongan bergaji rendah yang menjadi pekerja mereka, belum tentu lagi mereka mampu untuk dapat gaji besar itu,” katanya.

Terdahulu beberapa media melaporkan kuota bulanan penggunaan RON95 di bawah program BUDI95 berpotensi dikurangkan kepada 150 liter selari usaha kerajaan memastikan keterjaminan bekalan bahan api domestik dalam berdepan krisis bekalan global susulan konflik Asia Barat.

Walaupun tiada garis masa diberikan, Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong dilapor berkata, ia boleh dilaksanakan memandangkan program BUDI95 mempunyai keupayaan menyediakan data penggunaan secara terperinci.

Ini sekali gus membolehkan kerajaan melakukan pelarasan subsidi dan pengurusan bekalan secara lebih fleksibel mengikut keperluan semasa dengan data semasa menunjukkan sebahagian besar rakyat menggunakan jauh lebih sedikit daripada paras kuota semasa.

Sebelum ini kerajaan menyelaraskan sementara kelayakan penggunaan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April lalu, dalam usaha memastikan subsidi bahan api terus dinikmati majoriti rakyat.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment