Kapal selam mini ‘penjaga halimunan’ Selat Hormuz

TEHRAN – Kapal kapal selam mini Republik Islam Iran dikerahkan sebagai ‘penjaga halimunan’ di Selat Hormuz berikutan kebuntuan rundingan damai dengan Amerika Syarikat (AS)

Menurut laporan, Iran memiliki sekurang-kurangnya 16 kapal selam mini kelas Ghadir yang direka khas untuk beroperasi di perairan cetek seperti Selat Hormuz di mana setiap kapal selam dikendalikan kurang daripada 10 kru.

Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS), mendakwa setiap kapal selam itu mampu membawa dua torpedo atau dua peluru berpandu anti-kapal C-704 buatan China.

Iran sebelum ini berjaya menutup Selat Hormuz selepas AS dan Israel melancarkan serangan terhadap negara itu pada 28 Februari lalu.

Selat Hormuz adalah laluan strategik dunia yang mengendalikan kira-kira 20 peratus penghantaran minyak dan gas asli cecair (LNG) global.

Kerahan kapal selam mini itu dilaporkan ketika Presiden Donald Trump, memaklumkan beliau sedang mempertimbangkan semula rancangan menggunakan tentera AS bagi mengiringi kapal dagang melalui selat berkenaan.

Tehran sebelum ini mengukuhkan pengaruh di Selat Hormuz menerusi penggunaan serta ancaman peluru berpandu dan dron murah, manakala kapal selam mini itu dipercayai berfungsi sebagai elemen tambahan pertahanan.

Bagaimanapun, faktor geografi menjadi cabaran utama kerana Selat Hormuz hanya mempunyai kedalaman sekitar 100 meter, sekali gus menyukarkan kapal selam bersembunyi daripada pengesanan sonar aktif.

Sepanjang konflik semasa, tiada kapal selam Iran dilaporkan terbabit dalam pertempuran, manakala satu-satunya kapal selam bersaiz penuh milik negara itu iaitu kelas Kilo era Soviet dilaporkan tenggelam di jeti tempat ia berlabuh.

Kapal selam mini lazimnya digunakan untuk pertahanan pesisir kerana tidak mempunyai kemampuan pelayaran jauh serta tidak boleh menyelam sedalam kapal selam bersaiz besar.

Iran mula mengumumkan pengeluaran rasmi kapal selam itu pada 2005 dan sumber sama mendakwa reka bentuknya meniru teknologi Korea Utara.

Related posts

Leave a Comment