Suspek ditangkap semula selepas bukti baharu

JOHOR BAHRU 24 Jan. – Tiada sebarang layanan istimewa diberikan terhadap suspek utama kes pembunuhan Bella atau nama sebenarnya, Mila Sharmila Samsusah, 32 sebaliknya siasatan dilakukan secara berperingkat.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata pertama, siasat menerusi Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu melarikan orang tetapi apabila keterangan serta bukti tidak mencukupi, polis beri jamin dahulu, bukan lepaskan.

“Oleh kerana kita tidak berpuas hati dengan siasatan yang dibuat, siasatan diteruskan. Atas usaha Polis Johor khususnya Polis Batu Pahat, kita akhirnya berjaya menemui bukti-bukti yang baharu.

Bukti dan keterangan baharu itu yang membolehkan kita menangkap semula suspek utama dan siasatan seterusnya dibuat menerusi Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Bukan sebab kita bebaskan (suspek) sebab nak beri peluang untuk dia mengerjakan umrah,” katanya di sini hari ini.

Justeru tegasnya, polis menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menafikan dakwaan keluarga mangsa yang mempersoalkan siasatan dilakukan polis termasuk lambat bertindak bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Ahad lalu, kakak kepada Bella atau Mila Sharmila Shamsusah, 32, wanita yang hilang sejak pertengahan bulan lalu mempersoalkan beberapa tindakan polis dalam mengendalikan siasatan kes berkenaan.

Dalam hantaran di Facebook pada hari yang sama, Norhisham, 36, antara lain mendakwa pegawai penyiasat enggan berjumpa dengannya, selain mempertikai keputusan polis melepaskan individu dipercayai suspek utama atas alasan lelaki itu menghidap penyakit ‘tiga serangkai’.

Mengakui keluarga sangat kecewa, Norhisham atau lebih mesra dipanggil Ayu, mencatatkan dia dan Bella sentiasa berkongsi semua perkara dan kali terakhir mereka berhubung adalah melalui aplikasi sembang pada jam 11.38 malam, 14 Disember.

Dalam hantaran sama, Norhisam mendakwa, dia ke Ibu IPK dan balai polis untuk memaklumkan kehilangan Bella mempunyai unsur jenayah, bukan lagi kes orang hilang (OH) dan nyawa adiknya itu menjadi taruhan, selain mahu berjumpa pegawai penyiasat (IO) kes terbabit.

Bella dilaporkan hilang pada malam 14 Disember lalu selepas keluar ke kedai dobi bersama teman lelakinya.

Kehilangan Bella yang mempunyai dua anak, Eusof Abdul Fatah, 4, dan Maream Isabel, 2, hanya disedari pada keesokan hari selepas mesej dan panggilan telefon dihantar kakaknya, Norhisham, tidak dijawab.

Polis kemudiannya menahan teman lelaki Bella berusia 24 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan turut menahan dua lagi individu yang dipercayai ada kaitan dengan kehilangan Bella bagi membantu siasatan.

Jumaat lalu, rangka seorang wanita ditemukan di sebuah rumah terbiar Batu 7, Tongkang Pechah, selepas suspek ditahan sebaik tiba di tanah air selepas menunaikan umrah bersama keluarga.

Related posts

Leave a Comment