PUTRAJAYA : Kes baharu Covid-19 untuk hari ini 134, satu kematian dan 168 pulih serta dibenarkan discaj dari wad.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes kini 4,817 manakala jumlah kematian 77.
Beliau menyifatkan situasi hari ini menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila jumlah pesakit yang pulih melebihi jumlah kes positif baharu.
“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan discaj dari wad adalah 2,276 kes atau 47.23 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.,” katanya.
Bercakap pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM), di sini hari ini, beliau berkata kematian ke-77 (kes pesakit ke-2,797) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung, darah tinggi dan buah pinggang.
“Beliau merupakan peserta perhimpunan di Seri Petaling. Beliau dirawat di Hospital Melaka pada 31 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 13 April, pukul 9.15 pagi.
“Setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,464 kes dan semua kes aktif telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, 66 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 36 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.