Covid-19 tidak kenal orang bumi atau kayangan

BENAR, Covid-19 tidak pilih mangsa. Siapa saja boleh menjadi mangsa, dari yang tinggal di pondok, rumah pangsa, rumas teres, banglo hingga ke istana. Tiada yang kebal. Begitu juga Covid-19 tidak pilih jawatan atau profesion. Daripada rakyat di bawah kepada pemimpin dan juga raja. Buktinya sudah ada di seluruh negara.

Doktor dan jururawat juga tidak terlepas. Mereka juga dijangkiti.

Justeru semua orang tidak mengira darjat atau pangkat wajib mematuhi arahan yang dikenakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti penegasan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob

“Saya harap masing-masing mempunyai kesedaran, kerana Covid-19 tidak kenal kayangan atau bumi… ia tak kenal siapa. Tak ada siapa boleh dibezakan oleh Covid-19 ini, (orang) kaya-raya tidak akan terkecuali daripada dijangkiti,” katanya

Dalam hal ini, kerajaan perlu bertegas untuk melindungi rakyat. Jangan kerana gelagat seorang dua, peraturan diabaikan. Jika ada yang kena kuarantin, sila patuh. Jangan sesiapa pun terlepas atau bolos sebaik sahaja tiba di pintu masuk negara. Sila kuarantin diri di tempat yang disediakan, bukannya di rumah sendiri.

Berilah kerjasama kepada petugas barisan hadapan serta mematuhi arahan kuarantin, walaupun ada yang menganggap diri mereka lebih istimewa daripada orang lain.

Ismail Sabri sedar mengenai rungutan dan cacian pihak tertentu yang baru pulang dari luar negara terhadap petugas barisan hadapan serta pusat kuarantin, namun bertegas bahawa mereka tidak boleh bersikap pentingkan diri sendiri.

“Saya harap masing-masing mempunyai kesedaran, kerana Covid-19 tidak kenal kayangan atau bumi… ia tak kenal siapa. Tak ada siapa boleh dibezakan oleh Covid-19 ini, (orang) kaya-raya tidak akan terkecuali daripada dijangkiti.

“Dari segi undang-undang, saya percaya, adalah salah untuk menghalang penjawat awam untuk menjalankan tugas masing masing,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Beliau mengulas mengenai aduan seorang doktor yang mendakwa sesetengah rakyat yang baru tiba dari luar negara, bukan sahaja tidak memberi kerjasama kepada petugas barisan hadapan, malah ada yang mengeji dan mencaci dengan panggilan seperti anjing dan pencacai najis.

“Kami petugas kesihatan bertindak mengikut arahan hanya untuk memastikan rakyat Malaysia baru sampai dari luar negara ini selamat dan tidak menyebarkan (wabak) kepada orang lain.

“Memang kami kena kerja kuat sekarang bertugas siang dan malam buat saringan tapi nampaknya ada orang turun kayangan ini sombongnya bukan main, bagai dipijak-pijak maruah kami, petugas kesihatan. Memang tak bersyukur,” dakwa doktor itu lagi seperti yang menjadi viral di laman sosial.

Related posts

Leave a Comment