Gesaan keluar ICC tidak ada sambutan

NEW YORK – Hanya Naoero, sebuah negara kepulauan kecil di Pasifik yang dahulunya dikenali sebagai Nauru, menyahut gesaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, untuk keluar daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Trump yang menyifatkan ICC sebagai ‘jahat’ dan ‘institusi tidak terkawal’ membuat gesaan itu pada Selasa melonjakkan kempen AS yang semakin hebat terhadap mahkamah beribu pejabat di The Hague itu.

Menurut Washington, ia melampaui hadnya dengan menuntut bidang kuasa terhadap rakyat negara, termasuk AS dan Israel, yang tidak meratifikasi perjanjian penubuhannya dikenali sebagai Statut Rom.

Sebanyak 125 negara menjadi pihak kepada statut berkenaan.

Walaupun beberapa negara mengambil langkah untuk keluar daripada ICC, banyak kerajaan, khususnya di Eropah, tampil mempertahankan mahkamah yang berpangkalan di Belanda itu sebagai tonggak keadilan antarabangsa.

Perdana Menteri Belanda, Rob Jetten, ketika berucap pada Perhimpunan Agung pada Khamis, berkata mahkamah itu ‘diserang’ dan berdepan risiko.

“Bagaimana mungkin anda menentang pendakwaan terhadap jenayah paling kejam? Dan saya percaya hanya ada satu jawapan. Katakan: jangan ganggu ICC dan semua institusi lain yang melindungi aturan undang-undang antarabangsa,” katanya yang disambut tepukan gemuruh daripada perwakilan.

AS mengenakan sekatan kewangan dan larangan visa terhadap kakitangan mahkamah itu, manakala pegawai berkenaan sudah menyediakan sekatan yang boleh menjejaskan keupayaan ICC untuk beroperasi.

Kesatuan Eropah (EU) menyatakan sokongan terhadap mahkamah berkenaan dan pegawai terbabit membincangkan kemungkinan menggubal undang-undang penghalang sebagai tindak balas terhadap kemungkinan sekatan AS.

Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas, memberitahu pemberita minggu ini bahawa blok itu mempunyai beberapa pilihan untuk mempertahankan mahkamah berkenaan.

Presiden ICC, Tomoko Akane, yang sudah dikenakan sekatan AS, adalah warganegara Jepun.

Kerajaan Jepun menyifatkan cadangan sekatan itu sebagai ‘amat malang’ dan menghantar seorang pegawai ke The Hague bagi membincangkan langkah yang boleh diambil untuk menyokong beliau.

Nnn

Related posts

Leave a Comment