Bawalah mereka pulang!

 APABILA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masuk fasa ketiga ini, dan mungkin berlanjutan lagi, eloklah mereka yang ‘terperangkap’ sama ada di kampung atau kota ‘dibebaskan’ secara bersyarat. Mereka yang sudah lebih tiga minggu terpisah dengan keluarga perlu diketemukan semula.

Bukan sahaja golongan pelajar termasuk di institusi pengajian tinggi tetapi juga mereka yang mungkin sebenarnya sebagai ketua keluarga. Ada suami, bapa, isteri, kakak, abang dan siapa sahaja yang mungkin menjadi ketua keluarga tetapi terpisah akibat peraturan PKP.

Mungkin ketika pengumuman PKP fasa pertama, ada yang selain bercuti balik kampung, mereka juga mungkin mempunyai tugas di luar kawasan sehingga akhirnya terperangkap di kawasan itu. Jika peringkat awal 18 hingga 31 Mac, mungkin mereka boleh bertahan dengan harapan 1 April ‘bebas’.

Tetapi apabila memasuki fasa kedua dan mulai 15 April ini, fasa ketiga, sesuatu perlu dilakukan. Kita tidak, mungkin masalah lain pula timbul  termasuk tekanan perasaan akibat terpisah dengan keluarga. Justeru lihat semula peraturan supaya segala persoalan dapat dirungkai.

Sama seperti kita ‘menyelamatkan’ warganegara Malaysia termasuk pelajar yang terkandas di luar negara, anggaplah situasinya sama bagi mereka yang ‘terperangkap’ akibat PKP ini tanpa mengambil kira di mana saja mereka berada.

Walaupun kebajikan mereka yang terperangkap ini khususnya para pelajar tidak terabai, tetapi lebih baik mereka kembali bersama keluarga kerana tempoh yang mungkin berlanjutan, apatah lagi menjelang bulan Ramadan. Andai PKP longgar menjelang hari raya, biarlah pergerakannya tidak semeriah seperti sebelum ini.

Apa yang penting sekarang adalah ‘menyelamatkan’ mereka yang terperangkap di sana sini. Tidak kira di mana sahaja, kampung atau bandar. Lebih memerlukan perhatian sekiranya ada suami isteri yang terpisah. Ayah terpisah dengan anak-anak. Lebih sedih jika ada orang tua yang perlu dijaga anak mereka ‘terperangkap’ dalam PKP.

Carilah kaedah yang sesuai. Jika pesawat kita sanggup sewa inikan pula sekadar bas malahan mungkin kereta api atau ETS. Di institusi pengajian tinggi juga ada bas yang boleh digunakan sebagai pengangkutan untuk membawa mereka pulang.

Bagi yang membawa kenderaan sendiri juga boleh diizinkan pulang sendirian tetapi  dengan syarat-syarat tertentu. Apa yang penting beri mereka peluang untuk pulang.

Ambillah langkah tertentu.  Prosedurnya bagaimana supaya mereka ini ‘selamat’ dan keluarga yang bakal diketemukan semula juga ‘selamat’. Maksudnya tidak ada rantaian virus yang boleh merebak apabila pergerakan ini berlaku. Pastinya pemeriksaan kesihatan perlu dilakukan sebelum membenarkan mereka pulang.

Mungkin pergerakan pulang ini juga perlu dihadkan dalam jumlah tertentu, tidak secara beramai-ramai di dalam satu kenderaan. Mesti ada syarat-syaratnya. Yang penting mereka kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan sihat dan selamat.

Sekurang-kurangnya kehidupan mereka lebih selesa bersama keluarga tanpa tekanan perasaan.

Related posts

Leave a Comment