184 kes baharu, 3 kematian

PUTRAJAYA : Sebanyak 184 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini meningkat kepada 4,530, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata terdapat pertambahan tiga lagi kes kematian akibat pandemik itu menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 ketika ini sebanyak 73 atau 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sebanyak 165 kes pulih dilaporkan setakat 12 tengah hari Sabtu, menjadikan jumlah kumulatif kes adalah 1,995 atau 44.04 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, 72 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 38 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 2,462 kes membabitkan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19.

Jelasnya, angka tersebut diperolehi setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian.

“Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Mengikut trajektori unjuran KKM, pada 14 April 2020 iaitu apabila tamatnya fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), unjuran kes-kes positif dengan kebolehjangkitan adalah dijangka lebih kurang 2,033 kes.

“Ini tanda-tanda kejayaan PKP fasa pertama dan fasa kedua menurunkan kebolehjangkitan COVID-19 dalam komuniti,” ujarnya.

Mengenai kematian, kes ke-71 (kes ke-3091) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan gout. Beliau mempunyai kontak rapat kes positif Covid-19 dari kluster perhimpunan Seri Petaling (iaitu kes ke-452).

Beliau telah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 1 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 11 April 2020 pukul 12.05 tengah hari.

Kes kematian ke-72 (kes ke-537) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 71 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung. Beliau dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 15 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 11 April 2020 pukul 11.15 pagi.

Kes kematian ke-73 (kes ke-2399) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau telah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak pada 25 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 11 April 2020 pukul 12.00 tengah hari.

Related posts

Leave a Comment