Belanjawan 2024 lulus peringkat dasar

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024), selepas selesai dibahaskan di peringkat dasar.

RUU Perbekalan 2024 itu diluluskan menerusi undian suara ketika sesi mesyuarat dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul.

Sesi undian dibuat sejurus penggulungan perbahasan RUU Perbekalan 2024 peringkat dasar oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan,  Anwar Ibrahim, di pada pukul 6.50 petang.

Seramai 85 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan RUU Perbekalan 2024 peringkat dasar, bermula 16 Oktober lalu.

Pada sesi terakhir penggulungan peringkat dasar RUU Perbekalan 2024 hari ini membabitkan lima kementerian iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan.

RUU Perbekalan 2024 adalah belanjawan kedua di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Ia dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari, disusuli penggulungan selama empat hari mulai 30 Oktober lalu.

Dokumen Belanjawan 2024 membabitkan peruntukan tertinggi dalam sejarah negara, bernilai RM393.8 bilion, dibentangkan Anwar pada 13 Oktober lalu.

Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ itu memperuntukkan RM303.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM90 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM2 bilion pula disediakan untuk simpanan luar jangka.

Related posts

Leave a Comment