RAKYAT Malaysia akan duduk lebih lama di rumah apabila kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhir 31 Mac ini sehingga 14 April 2020.
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, beliau telah diberikan taklimat oleh Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara yang menunjukkan trend semasa kes-kes positif Covid-19 yang baharu masih berlaku.
Trend ini dijangka akan berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mula menurun dan menuntut kerajaan untuk meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan bagi satu tempoh masa yang lebih lama.
“Sehubungan itu, kerajaan telah memutuskan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan akan dilanjutkan sehingga 14 April 2020. Saya memaklumkan pelanjutan tempoh ini lebih awal supaya saudara saudari lebih bersedia,” katanya dalam perutusan yang disiarkan melalui televisyen hari ini.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap mereka yang berada di kampung tidak bergegas balik ke Kuala Lumpur hujung minggu ini.
“Duduklah dulu di kampung dan jangan ke mana-mana. Anak-anak yang sepatutnya balik ke asrama, tak perlu balik ke asrama lagi. Tunggu dulu,” katanya.
Pejabat yang ditutup tidak perlu dibuka lagi dan jika ada perkara penting yang perlu diurus dalam tempoh dua tiga minggu yang akan datang, rancanglah dari sekarang bagaimana mahu menguruskannya.
“Please stay calm and don’t panic. Eventhough we have extended the Movement Control Order, you don’t have to unnecessarily stock up on food because the supply is sufficient. I assure you that food is enough for everybody.
I know you feel burdened but I don’t have a choice. I have to extend the Movement Control Order for your own safely” katanya
Perdana Menteri juga mengarahkan semua kementerian untuk membuat persiapan yang rapi bagi mengurus keperluan asas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa.
“Yang penting semua keperluan asas mestilah sentiasa tersedia dan mencukupi. Ini termasuk bekalan makanan, elektrik dan air, perkhidmatan kutipan sampah dan pembentungan, kemudahan komunikasi dan logistik serta keselamatan dan ketenteraman awam..
Beliau juga berharap pusat-pusat pungutan zakat di setiap negeri turut memainkan peranan secara lebih proaktif untuk membantu para asnaf yang sedang menghadapi keadaan hidup yang agak lebih sukar pada masa ini.
“Berilah bantuan kepada mereka. Mungkin mereka yang sebelum ini tidak tersenarai sebagai asnaf, tetapi dalam keadaan ekonomi yang terjejas pada masa ini, mereka menjadi golongan asnaf yang layak menerima bantuan zakat,” katanya.