KUALA LUMPUR : Sebanyak 95 peratus peserta perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling di sini tampil membuat saringan kesihatan bagi Covid-19, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.
Katanya, baki lima peratus lagi sedang dijejaki untuk memastikan mereka juga tampil membuat saringan Covid-19.
Beliau berkara polis menubuhkan pasukan petugas melibatkan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di semua peringkat daerah dan kontinjen polis negeri dalam usaha mengesan mereka yang menghadiri perhimpunan tersebut dari 28 Feb hingga 1 Mac lalu.
“Hasil usaha ‘task force’ (pasukan petugas) dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kami telah mengenal pasti butiran penuh sehingga 10,000 daripada mereka dan masih mengesan yang lain,” katanya dalam satu temu bual khas sempena Hari Polis ke-213 pada program ‘Selamat Pagi Malaysia’ yang disiarkan melalui saluran TV1, RTM, hari ini.
Abdul Hamid berkata pihaknya kini aktif menghubungi anggota jemaah itu untuk mengingatkan mereka supaya mana-mana kenalan yang masih belum tampil membuat pemeriksaan saringan Covid-19 agar tampil berbuat demikian.
“Saya meminta orang ramai agar tidak mendiskriminasikan ahli tabligh ini kerana mereka tidak bersalah dalam hal ini (isu Covid-19) yang boleh memberikan kesan negatif kepada ahli berkenaan,” katanya.
Beliau berkata polis sentiasa berinteraksi dengan pucuk pimpinan ahli tabligh untuk mendapatkan kerjasama dalam mengesan mereka yang masih belum tampil.
“Jadi saya mohon orang ramai untuk menghentikan kecaman, mencaci dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada ahli tabligh,” katanya.
“Sebenarnya mereka memberikan kerjasama yang amat baik kepada pihak polis dan kami dapat butiran terbaharu yang mereka perolehi daripada hasil usaha mereka sendiri (mengesan sesama ahli tabligh),” katanya.
Selain itu, Abdul Hamid meminta orang ramai berkongsi maklumat dengan polis jika ada pesakit atau mereka disyaki terkena jangkitan Covid-19 untuk bantu KKM.
–