Selat Hormuz: Iran, Oman ulangi komitmen

ISTANBUL – Iran dan Oman mengulangi komitmen mereka untuk memastikan laluan pelayaran maritim yang selamat dan bebas melalui Selat Hormuz susulan memorandum persefahaman antara Tehran dan Washington.

Semasa perbualan telefon, Menteri Luar Oman Badr Albusaidi dan rakan sejawatnya dari Iran, Abbas Araghchi, meneliti hubungan dua hala serta menegaskan komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang berdasarkan prinsip kejiranan yang baik serta ikatan sejarah dan budaya yang lama terjalin.

Mereka turut menzahirkan harapan agar semua pihak dapat melakukan “usaha serius bagi memupuk persekitaran mampan yang menyokong proses politik dan diplomatik yang membina bagi memelihara keselamatan serta kestabilan serantau.

Panggilan telefon itu dibuat beberapa hari selepas Washington dan Tehran mengumumkan bahawa mereka telah mencapai satu memorandum persefahaman bagi membuka jalan ke arah menamatkan konflik, yang bermula dengan operasi ketenteraan AS dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari lepas.

Presiden AS Donald Trump menyatakan bahawa persefahaman itu telah pun dicapai  dan Selat Hormuz akan “dibuka semula sepenuhnya menjelang Jumaat.”

Bagaimanapun, pegawai Iran memaklumkan bahawa memorandum berkenaan dijangka ditandatangani oleh ketua kedua-dua delegasi rundingan semasa pertemuan di Switzerland pada 19 Jun.

Selat Hormuz yang terletak di antara Iran dan Oman merupakan antara laluan transit tenaga paling penting di dunia, yang menghubungkan rantau Teluk ke perairan antarabangsa melalui Teluk Oman dan Laut Arab.

Nnn

Related posts

Leave a Comment