Tangguh bayaran balik pinjaman

PERDANA Menteri, Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan beberapa langkah bagi mengurangkan beban rakyat terutama yang mempunyia pinjaman dengan institusi kewangan.

Katanya, kerajaan sedar, impak wabak Covid-19 ini bukan hanya menimbulkan keresahan dari segi kesihatan dan kesejahteraan, tetapi Perintah Kawalan Pergerakan ini juga menimbulkan keresahan rakyat dari segi kewangan.

Antara perkara utama yang menimbulkan keresahan ini ialah pembayaran balik pinjaman bank, baik dari segi peminjam persendirian mahupun Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang perniagaan mereka terjejas akibat penularan wabak ini.

Sehubungan itu, beberapa sessi perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia diadakan dan berikut keputusan yang diambil:

1. Bermula 1 April 2020, bank-bank tempatan akan menawarkan moratorium atau penangguhan bayaran balik sehingga enam (6) bulan kepada peminjam-peminjam individu dan PKS.

2. Pemegang kad kredit yang menghadapi kekangan kewangan boleh memilih untuk menukar baki kad kredit kepada pinjaman berjangka. Fleksibiliti penangguhan pembayaran balik kad kredit ini boleh dimanfaatkan oleh peminjam dari 1 April 2020 sehingga 31 Disember 2020.

3. Sektor korporat boleh berunding dengan bank masing-masing untuk menyusun semula pembayaran balik yang sesuai dengan keadaan perniagaan mereka.

Ini adalah penting untuk membolehkan syarikat- syarikat terus berkemampuan untuk mengekalkan pekerjaan dan meneruskan aktiviti masing-masing.

Semua langkah penangguhan bayaran balik pinjaman, penyusunan baki kad kredit dan penstrukturan semula pinjaman perniagaan melibatkan jumlah nilai sekurang-kurangnya RM100 billion.

“Ini merupakan satu jumlah yang amat bermakna, dan saya amat berterima kasih di atas keperihatinan Kementerian Kewangan, BNM serta industri perbankan Malaysia,” katanya.

Related posts

Leave a Comment