Suarakan dengan penuh hikmah, adab

SHAH ALAM 16 Jun  – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengulangi nasihat dan pesanan supaya umat Islam sentiasa mengutamakan perpaduan sempena bermulanya tahun baharu Hijrah.

Baginda menarik perhatian, mengenai pesanan Almarhum Ayahanda baginda yang sering menasihatkan umat Islam tidak ‘wash dirty linen in public’.

“Maksudnya, jika terdapat sebarang masalah, perbezaan pandangan atau perkara yang perlu diperbetulkan, maka suarakanlah dengan penuh hikmah dan adab. Jika mahu memberi nasihat atau teguran, lakukanlah dengan cara yang baik dan berhemah.

“Apa jua isu yang timbul hendaklah diselesaikan melalui perbincangan secara tertutup, dengan semangat saling menghormati dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Dalam titah berkenaan, Sultan Selangor turut berpesan perkara yang boleh diselesaikan secara baik jangan dibawa ke ruang awam sehingga mencetuskan pertelingkahan terbuka yang membawa kepada kelemahan umat dan bangsa kepada pandangan umum.

Apabila kita bertengkar secara terbuka, pihak lain akan melihat kelemahan tersebut dan tidak mustahil ada yang mengambil kesempatan daripada perpecahan yang berlaku. Jika keadaan itu dibiarkan, tiada siapa yang akan benar-benar menang,” titah baginda.

Sultan Selangor turut berkenan mengajak umat Islam untuk bersama-sama mengambil semangat hijrah untuk memperkukuhkan perpaduan, memperbanyakkan sikap toleransi, serta mendahulukan kepentingan agama, bangsa dan negara mengatasi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.

“Sempena ketibaan tahun 1448 Hijrah, beta ingin mengimbas kembali peristiwa hijrah yang menjadi titik permulaan takwim Islam yang bukan sekadar perpindahan dari satu tempat ke satu tempat yang lain, tetapi merupakan simbol perubahan ke arah yang lebih baik, serta penyatuan ummah dalam menghadapi pelbagai cabaran.

“Semoga tahun baharu ini membawa keberkatan, keamanan dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat serta menjadi titik permulaan kepada usaha memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan umat Islam dan seluruh masyarakat,” titah baginda.

Nnn

Related posts

Leave a Comment