Hilang nikmat apabila negara ‘sakit, tidak sihat’

SEMALAM, ketika diumumkan harga minyak turun, ramai yang gembira. Pertama sudah tentu meringankan beban mereka. Kedua ada yang mengaitkan dengan politik iaitu janji Pakatah Harapan (PH) menurunkan harga minyak terlaksana ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN). Bukan RM1.50 tetapi RM1.44 seliter.

Ketepikan kenyataan berkaitan politik.Anggap itu sekadar sindiran. Lupakan kerana di sebalik kegembiraan itu, penurunan harga minyak tidak memberi makna yang besar kepada kebanyakan orang. Apa yang boleh dilakukan walaupun harga minyak turun kepada RM1 dalam tempoh seminggu dua ini?

Andai ditakdirkan kadar tol diturunkan sebanyak 50 peratus sekali pun, berapa ramai yang mampu memanfaatkannya? Mungkin mereka terlupa tentang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan sehingga 31 Mac ini. Mungkin juga dilanjutkan lagi jika keadaan memaksa.

Justeru, mahu ke mana kita ketika PKP ini jika minyak kereta diisi penuh tangki? Bukankah kita disuruh duduk di rumah? Esok Angkatan Tentera Malaysia pula akan turun ke lapangan bagi membantu Polis Diraja Malaysia menguatkuasakan PKP. 

Berita penurunan harga minyak datang bersama berita-berita duka yang lain seperti kes Covid-19 semakin meningkat, 15 kakitangan perkhidmatan kesihatan turut dijangkiti dan kematian ketiga Covid-19 yang juga melibatkan mangsa kedua perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling. 

Itu yang rasmi. Banyak lagi cerita negatif yang berlegar di WhatsApp yang menimbulkan kebimbangan terhadap wabak yang begitu pantas merebak. 

Hakikatnya, sekarang negara kita ‘tidak sihat. Sedang sakit’, Jika berdasarkan pelbagai maklumat atau mesej, situasinya tidak baik. Bagaikan api yang sedang membakar hutan. Dicurah air belum pasti padam. Negara orang juga ‘sakit’.

Ini amat berbeza dengan hanya individu yang sakit atau tidak sihat. Hanya dia yang menanggung sendiri penderitaannya. Pulih atau tidak, bergantung kepada perubatan dan kekuatan diri untuk melawan  penyakit yang ada padanya. Sampai masa dijemput Ilahi, maka berakhirlah penderitaannya. 

Tetapi hari ini negara yang ‘sakit’. Semua orang terasa kesannya. Sedikit demi sedikit nikmat yang kita nikmati ditarik, bukan sahaja nikmat di dunia tetapi juga ‘nikmat’ untuk dibawa bersama sesudah mati. Terlalu panjang untuk menyenaraikan nikmat itu satu persatu. Masing-masing tahu dan sedang merasainya dalam tempoh empat hari ini. Mungkin permulaannya masih okay tetapi jika berterusan? 

Ketika ini, badan yang sihat beserta wang yang banyak tidak lagi mampu menggembirakan kita. Jalan raya dan lebuh raya yang lengang tidak mampu mengubat kesesakan yang seringkali ditempuh sebelum ini. Wang yang ada tidak mampu membawa kita menaiki pesawat untuk melancong ke pelusuk dunia.

Banyak negara sudah menutup pintu masing-masing. Ke mana mahu ‘melarikan diri’ apabila dunia sedang bergelut dengan wabak penyakit ini?

Negara-negara yang sering jadi tumpuan juga sedang ‘sakit’ menyebabkan sektor pelancongan lumpuh. Berapa ramai jemaah kita yang terpaksa membatalkan hasrat untuk mengerjakan umrah apabila dua kota suci Makkah dan Madinah ditutup secara berperingkat-peringkat. Sunyi sepi berbanding suasana sebelum ini.

Pergerakan kita hari ini terbatas. Wang tidak mampu membeli segala-galanya. Cuti yang diberi tidak boleh dimanfaatkan untuk pulang ke kampung atau melancong. Ada  bisnes di pasar malam, ada pekerjaan, ada kemudahan pengangkutan dan macam-macam lagi juga tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Begitulah yang terjadi apabila sesebuah negara jatuh ‘sakit’ disebabkan wabak penyakit.

Justeru sama-samalah kita memulihkan ‘kesihatan’ negara kita, berusaha untuk membantu pihak berkuasa menyekat rantaian wabak ini. Jangan persendakan PKP. Masih ramai yang berpotensi membawa virus perlu tampil. Mereka ini jangan pula salah faham ‘duduk di rumah’  walaupun sedar berpotensi membawa virus.

Jujurlah kepada diri sendiri, kepada masyarakat dan negara. Kasihanilah barisan hadapan kita terutama dalam sektor perkhidmatan kesihatan. Jangan biarkan mereka juga sakit. Parah negara tanpa kehadiran mereka dalam situasi yang sukar ini.

Ingatlah kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Untuk benar-benar membasmi dan mengawal wabak, semua negara mesti mengambil langkah mengasingkan, menguji, merawat dan mengesan. Jika tidak, rantaian penyebaran akan meningkat semula apabila langkah kawalan pergerakan ditarik balik.

Semoga rakyat faham. Dengan segala ikhtiar yang kita lakukan, kita berserah kepada-Nya, berlindung dari segala penyakit yang buruk dan mengerikan. Sama-sama kita berdoa memulihkan ‘kesihatan’ negara kita, agar dikembalikan kehidupan seperti sebelum diuji dengan wabak penyakit ini. Kehidupan yang lebih baik dan bertakwa kepada-Nya.

Related posts

Leave a Comment