Dua kematian pertama Singapura

SINGAPURA merekodkan dua kematian pertama akibat Covid-19 melibatkan wanita warga tempatan berusia 75 tahun dan seorang lelaki warga Indonesia berusia 64 tahun.

Wanita berkenaan mula menerima rawatan pada 23 Februari lepas dan mangsa
mempunyai sejarah penyakit jantung serta hipertensi.

Sementara itu, pesakit kedua dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID) dalam keadaan kritikal pada 13 Mac, setelah tiba di republik itu dari Indonesia pada hari yang sama, dan disahkan dijangkiti Covid-19 pada 14 Mac.

Singapura mencatat 40 lagi kes positif baharu COVID-19 pada Jumaat, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 385 di republik ini, kata Pengarah Perkhidmatan Perubatan Kementerian Kesihatannya Kenneth Mak.

Daripada 40 kes baharu itu, 30 adalah kes dari luar dan bakinya adalah 10 kes tempatan. Daripada 30 kes dari luar itu, 22 daripadanya adalah rakyat Singapura dan pemastautin tetap sementara tujuh lagi adalah pemegang pas jangka panjang dan seorang lagi pelawat jangka pendek.

Kes dari luar yang baharu mempunyai pelbagai sejarah perjalanan ke negara-negara berbeza seperti United Kingdom, Indonesia, Jerman dan juga Amerika Syarikat.

Sementara itu, Singapura bakal melaksanakan langkah penjarakan selamat yang lebih tegas bagi mengurangkan lagi jangkitan COVID-19 di peringkat tempatan, terutamanya segmen populasinya yang mudah terdedah kepada jangkitan.

Antaranya mulai sekarang sehingga 30 Jun tahun ini, semua acara dan perhimpunan yang dihadiri 250 peserta atau lebih dalam satu-satu masa perlu ditangguh.

Ini adalah lanjutan daripada peraturan sebelum ini untuk acara hiburan, kebudayaan dan sukan yang mempunyai jualan tiket dihadkan kepada kurang daripada 250 peserta.

Related posts

Leave a Comment