PKR parah, masa depan sukar diramalkan

SEPANG 28 Mei – Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim menyifatkan PKR ketika ini dalam keadaan cedera, luka dan parah yang jika tidak dirawat segera walaupun tidak mati boleh membawa lumpuh.

Beliau yang menyuarakan rasa sedih melihat kemelut dalaman yang melanda PKR hari ini berasa sedih dan pilu, melihat keadaan partinya seumpama bahtera yang sedang dipukul badai dan ribut.

Hassan merujuk tindakan beberapa ahli meninggalkan parti untuk menyertai parti baru Bersama, yang dipimpin sahabatnya, bekas Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Sambil berkata, beliau kini memilih untuk tidak menghalang mana-mana ahli yang ingin keluar parti, berbeza dengan usahanya ketika krisis Langkah Sheraton enam tahun lalu, Hassan berkata dirinya sudah tua dan tidak lagi mampu menongkah arus.

“Kali ini aku tidak menahan mereka yang ingin meninggalkan Keadilan.Tidak seperti enam tahun lalu aku berusaha memujuk ahli-ahli Parlimen yang mahu meninggalkan Keadilan untuk bersama Muhyiddin Yassin dan Parti Bersatu dalam Langkah Sheraton,” katanya yang ketika itu sebagai Pengerusi Keadilan di Negeri Johor.

Beliau mengambil contoh, dengan menghubungi Ahli Parlimen Segamat dan Ahli Parlimen Batu Pahat supaya tidak meninggalkan Keadilan dan tidak mengkhianati perjuangan.

Bagaimanapun usahanya gagal apabila kedua-duanya tetap menyertai ahli-ahli Parlimen lain dari Keadilan yang kesemuanya 10 orang melompat menyokong Muhyiddin untuk membentuk Kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Aku pun hanya seorang ahli Parlimen biasa yang berada di pinggiran sahaja. Setiap pandanganku yang muncul sekali sekala di khalayak umum tidak membawa apa-apa kesan, kerana itu semua pandangan peribadi sahaja pada hujah pemimpin-pemimpin tertinggi PKR apabila mereka mempertahankan diri.

“Jadi aku kini memilih untuk membisu dan berdiam diri sahaja. Aku hanya melihat sahabat-sahabatku di kalangan ahli-ahli Parlimen senior PKR sudah hilang semangat di waktu ini,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.

Menurut Hassan, di peringkat Dewan Rakyat, hanya tinggal dirinya dan beberapa ahli Parlimen penyokong kerajaan (backbencher) yang masih memberikan sokongan kepada Perdana Menteri  Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani.

“Di sebelah kananku Subang dan di sebelah kiriku Balik Pulau adalah penyokong- penyokong tegar Rafizi Ramli. Aku di tengah-tengah mereka yang masih memberi kepercayaan kepada PMX, Keadilan dan Kerajaan Madani,” katanya.

Hassan mengakui adakalanya beliau sekali sekala sama seperti Rafizi mempunyai perbezaan pandangan dengan perdana menteri, termasuk dalam isu Perjanjian Timbal balik Tarif Perdagangan yang ditandatangani bersama Donald Trump.

Bagaimanapun Hassan berharap PKR yang pernah kaya dengan semangat kental perjuangan dapat bertahan menempuh ujian daripada kebangkitan pemberontakan dalaman menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

“Ini satu ujian demokrasi. Masa depan Keadilan sekarang susah diramalkan. Jika keadilan tidak tumpas dalam PRU-16 nanti, maka ia ada masa depan.Jika menang bergaya, maka PMX akan ditabalkan sebagai Perdana Menteri sekali lagi.

Tetapi jika Keadilan tewas di peti undi atas pilihan rakyat maka semua pimpinan dan anggota Parti Keadilan Rakyat perlu bermuhasabah diri,” katanya sambil mengakui peluang untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya masih terbuka luas.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment