BEIRUT – Israel mengisytiharkan semua kawasan di selatan Sungai Zahrani di Lubnan sebagai ‘zon perang’ dan mengarahkan penduduk berpindah sebelum serangan dilancarkan terhadap kumpulan Hizbullah.
Amaran besar-besaran pertama sejak gencatan senjata 17 April lalu itu dikeluarkan ketika tentera Israel melancarkan serangan meluas di selatan dan timur Lubnan.
Sementara itu, Hizbullah mendakwa pejuangnya bertempur dengan tentera Israel di luar ‘garisan kuning’ yang ditetapkan Israel di selatan negara itu, ketika umat Islam Lubnan sedang menyambut Aidiladha.
Israel turut memberi amaran akan bertindak ‘dengan kekerasan besar’ terhadap Hizbullah. Sungai Zahrani terletak kira-kira 40 kilometer (km) dari sempadan Israel-Lubnan.
Israel minggu ini berikrar memperhebat operasi ketenteraan di Lubnan dan memaklumkan pihaknya memperluaskan operasi darat di negara itu.
Rundingan antara delegasi tentera Lubnan dan Israel dijadual berlangsung di Pentagon pada Jumaat, selain pusingan baharu rundingan langsung minggu depan bagi menamatkan permusuhan.
Sebelum ini, tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan penduduk di bandar Nabatieh di selatan Lubnan serta beberapa kawasan di bandar pesisir Tyre dan kawasan sekitarnya.
Ketua tentera Israel, Leftenan Kolonel Eyal Zamir, berkata operasi ketenteraan dipertingkatkan bagi memberikan tamparan lebih hebat terhadap Hizbullah.
Hizbullah yang disokong Iran pula mendakwa pejuangnya bertempur secara jarak dekat dengan tentera Israel di bandar Zawtar al-Sharqiyah, yang terletak di luar ‘garisan kuning’ di selatan Lubnan.
Delegasi tentera Lubnan terdiri daripada enam pegawai yang diketuai Pengarah Operasi Tentera, Georges Rizkallah, dijadual menyertai rundingan di Pentagon pada hari ini.
