Biar ‘tutup’ hari ini, asal Ramadan melimpah

APABILA masjid ‘ditutup’ untuk solat Jumaat di Perlis, pelbagai reaksi timbul. Ada pro dan kontra. Secara sinis ada yang bertanya sejauh mana kritikalnya keadaan di Perlis? Berapa orang yang positif? Tidak kurang juga yang berkata, manusia lebih takut penyakit berbanding Allah. Begitulah pandangan yang diberi.

Itu baru Perlis, sebuah negeri nun di utara. Bayangkan kalau satu Malaysia. Ada juga yang bertanya kenapa tidak ditutup pelbagai lagi tempat tumpuan awam seperti pusat beli-belah, kelab malam, karaoke, pasar awam, pasar malam dan pelbagai lagi yang menjadi tumpuan ramai? Boleh tolong jawab?

Perlis mempunyai alasan kenapa solat Jumaat ditiadakan. Begitu juga orang ramai yang memberi pandangan mereka. Mana mungkin semua orang mempunyai pemikiran yang sama. Dalam agama pun kita ‘berpecah’ kepada beberapa mazhab, inikan pula pandangan berhubung isu ini.

Cuma jangan apabila bercakap atau memberi pandangan, seolah-olah diri sendiri lebih Islam daripada Islam.

Mengenai isu tutup masjid, tetangga kita, Singapura menutup masjid selama lima hari. Maknanya tiada solat berjemaah. Pelbagai aktiviti di masjid juga  digantung selama dua minggu. Langkah ini diambil berikutan dua jemaah tabligh warga Singapura yang disahkan dijangkiti Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan (MOH).

Ketika ini, pihak berkuasa di Singapura sedang membersih masjid. Satu langkah pencegahan yang baik bukan sekadar menyediakan sanitizer seperti dilakukan di kebanyakan masjid dan surau di negara kita. Penjagaan kebersihan penting kerana kehadiran jemaah di masjid tidak boleh dihalang walaupun individu yang tidak sihat berpotensi membawa jangkitan penyakit.

Pihak berkuasa hanya mampu memberi nasihat. Masyarakat perlu lebih terbuka walaupun sesetengah keputusan itu tidak dipersetujui. Ambillah contoh keputusan kerajaan Arab Saudi yang ‘menutup’ Masjidilharam dan Masjid Nabawi serta tidak mengeluarkan visa umrah. Ini menunjukkan pemerintah bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan umat Islam dengan mengambil langkah pencegahan.

Lihatlah usaha itu sebagai langkah untuk memastikan wabak ini dibendung secepat mungkin, selewat-lewatnya menjelang Ramadan atau musim Haji. Ketika itu biarlah Makkah dan Madinah boleh menerima tetamu. Jika tidak, umat Islam perlu bersedia menerima keputusan ibadah haji ditiadakan seperti yang pernah berlaku sebelum ini. Atau sekurang-kurangnya terhad kepada jemaah dari negara-negara tertentu.

Masyarakat perlu sedar sebarang arahan atau peraturan yang diusulkan bukan bertujuan menghalang jemaah ke masjid. Itu bukan isunya. Jangan pula yang ‘bersuara’ itu lebih ramai daripada jumlah jemaah yang solat berjemaah tepat pada waktunya di masjid dan surau

Ingatlah kebanyakan jemaah yang ke masjid atau surau adalah mereka yang sudah berusia atau warga emas. Golongan inilah yang lebih terdedah kepada penyakit.

Jika seseorang itu sakit terutama selesema, batuk dan demam, elakkan ke masjid atau surau. Benar, tidak ada pengecualian solat bagi orang sakit tetapi jika tidak sihat, solatlah di tempat yang tidak memberi risiko atau membahayakan orang lain.

Bersalam juga perlu dielakkan. Jangan berkecil hati jika salam tidak disambut atau orang sebelah tidak menghulurkan tangan untuk bersalam. Saranan membawa sejadah sendiri juga baik kerana keadaan karpet yang mungkin ‘tidak bersih’. Kekerapan membersihkan karpet juga amat penting bukan hanya menjelang bulan puasa atau hari raya. Ambil pendekatan pembersihan Masjidilharam dan Masjid Nabawi.

Langkah lain untuk mengurangkan risiko wabak adalah memendekkan khutbah. Apa yang penting mesej khutbah sampai kepada jemaah. Tidak ada makna panjang tetapi jemaah tidak dapat ‘menangkap’ mesej yang hendak disampaikan.

Masyarakat perlu menerima dengan terbuka sebarang arahan atau peraturan,  bukannya asyik mahu ‘memberontak’ . Penularan wabak ini perlu disekat. Ketika ini tidak ada ‘senjata’ yang mampu menghalang kemaraan wabak ini kecuali berusaha mencegah dan berdoa agar wabak ini tidak lebih kritikal.

Majlis Fatwa Emiriyah Arab Bersatu mengeluarkan fatwa mewajibkan umat Islam mengikut ketetapan yang dikeluarkan oleh pihak kesihatan negara untuk mengelakkan daripada penularan wabak. Majlis Fatwa dan Kajian Eropah pula mengharuskan pembatalan solat jemaah dan Jumaat jika keadaan memerlukan.

Kuwait pula menasihati rakyatnya agar tidak bersalaman jika mereka kurang sihat.

Amat menyedihkan andai wabak ini terus menerjah bulan Ramadan. Pastinya kita akan kehilangan nikmat pelbagai program yang diatur bersama masyarakat sama ada di masjid, surau, rumah anak yatim dan lain-lain lagi. 

Ujian yang sedang kita hadapi bukan bencana alam:seperti ribut, taufan atau banjir tetapi penyakit yang tidak kelihatan. Mungkin bagi sesetengah orang, biar mati di masjid daripada tidak dapat ke masjid. Mati boleh berlaku di mana-mana, bukan hanya kerana Covid-19. Fikirkan juga hak orang lain untuk hidup.

Justeru kita perlu bersikap positif bukan dikesan positif Covid-19. Di mana sahaja kita berada, amalan baik perlu diteruskan, cuma caranya berbeza. Andai masjid dan surau ditutup, peruntukkan masa kepada keluarga di rumah. Masa untuk mengimamkan solat di rumah atau berbuka puasa bersama keluarga.

Ingatlah langkah yang diambil adalah bagi memelihara maslahat masyarakat, menjaga kesihatan dan mengelakkan kemudaratan. Rasulullah SAW sendiri pernah mengarahkan umatnya solat di rumah dan tidak ke masjid bagi solat Jumaat dalam keadaan darurat.

Related posts

Leave a Comment